34.1 C
Kuala Lumpur
Tuesday, March 19, 2024

Felcra laksana projek mega ternakan ayam tertutup RM60 juta

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

FELCRA Berhad mengorak langkah dalam aktiviti perniagaannya dengan melaksanakan projek mega ternakan ayam sistem tertutup bernilai RM60 juta.

Projek yang dilaksanakan di Kampung Tanjung Seratus, Rompin, Pahang itu adalah sebahagian inisiatif FELCRA dalam menyokong Dasar Jaminan Keselamatan Makanan Negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata kementeriannya menyalurkan peruntukan projek mega itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Kebenaran merancang projek ini telah dimohon kepada Majlis Daerah Rompin dengan tatacara ataupun peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak majlis, jadi saya fikir bahawa Majlis Daerah Rompin dan kerajaan negeri Pahang tidak ada masalah untuk meluluskan kerana apa yang dipohon itu telah mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

“Projek ini akan membantu menambah bekalan ayam di pasaran dalam negara selain membuka peluang pekerjaan kepada peserta FELCRA,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Lawatan Kerja ke Tapak Kompleks Ladang Ayam Pedaging Sistem Tertutup FELCRA Berhad di Tanjung Seratus, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, Pengerusi FELCRA, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA, Datuk Mat Roni Zakaria.

Jelas Mahdzir, projek tersebut adalah sebahagian daripada Pelan Transformasi FELCRA 2.0 untuk mempelbagaikan bidang perniagaannya dan tidak hanya bergantung kepada sektor perladangan kelapa sawit semata-mata.

Pembinaan kompleks ternakan ayam di atas tanah seluas 20 hektar itu mula dibina bulan ini dan dijangka siap bulan Januari tahun depan.

Ia dijangka mampu membekalkan sebanyak 600 ribu ekor ayam bagi satu pusingan 35 hari atau 3.6 juta ekor pada tahun pertama operasinya.

Mahdzir berkata, FELCRA menjangkakan dalam satu tahun dapat sebanyak enam kali pusingan dan ini adalah permulaan (projek) dan pihak FELCRA telah membuat ‘engagement’ dengan pihak-pihak yang ada kepakaran dan teknologi selain FELCRA juga ada pegawai-pegawai dalam bidang itu (penternakan ayam).

“Ketika ini, keperluan ayam dalam negara adalah berjumlah 2.09 juta ekor sehari atau 62.9 juta ekor ayam sebulan.

“Berbanding pengeluaran semasa ayam sebanyak 1.6 juta ekor sehari iaitu kekurangan kira-kira 409 ribu ekor ayam sehari.

“Ini adalah sebahagian daripada program dalam FELCRA yang saya jangka FELCRA juga akan mengadakan kawasan ataupun tapak di negeri lain pula selepas ini untuk menambah jumlah bilangan ayam,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Keputusan peperiksaan STAM 2023 diumum 26 Mac ini – KPM

KEPUTUSAN Peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2023 akan dikeluarkan pada hari Selasa, 26 Mac ini. Kementerian Pendidikan...

Lagi Artikel Berkaitan