25.5 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 16, 2024

Penonton lumba haram dicadang dikenakan tindakan

Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mengandungi cadangan itu bakal dibentang di Parlimen Oktober ini

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN bercadang untuk mengemukakan pindaan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 pada sesi Dewan Rakyat Oktober ini bagi membanteras kegiatan lumba haram dan aktiviti mat rempit.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin berkata, antara cadangan pindaan adalah tindakan terhadap orang ramai yang menjadi penonton lumba haram dan hukuman terhadap bengkel yang mengubah suai motosikal bagi kegunaan kegiataan itu.

Menurutnya, terdapat perbincangan dilakukan pada 8 Ogos lepas dan beberapa cadangan dikemukakan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada Kementerian Pengangkutan tentang mengubal undang-undang tersebut supaya lebih ketat.

“Setakat ini belum ada undang-undang yang mengekang penonton-penonton, wanita, kanak-kanak, orang tua untuk perlumbaan-perlumbaan ini.

“Disebabkan itu diwujudkan akta supaya orang ramai yang pergi menonton ini juga diambil tindakan.

“Kedua ialah tentang bengkel-bengkel yang mempunyai aksesori yang mengubah suai motosikal ini juga dikenakan tindakan.

“Hukuman denda atau penjara yang ada pada masa sekarang juga perlu ditingkatkan menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menangani masalah ini.

“Bagaimanapun ini masih dalam perbincangan dan berkemungkinan akan dikemukakan dalam Dewan Rakyat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator N Balasubramaniam mengenai pindaan undang-undang untuk membanteras isu lumba haram serta jumlah operasi melibatkan lumba haram.

Menurut Jonathan, berdasarkan statistik Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), 1,451 pesalah ditangkap dari Januari 2022 hingga Jun lalu.

“Sebanyak 1,258 saman juga dikeluarkan dan 2,200 kenderaan disita untuk siasatan.

Mengenai cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membina litar khusus bagi perlumbaan drag di setiap negeri, Jonathan berkata, cadangan itu baik dalam usaha memperkasakan sukan permotoran.

Bagaimanapun menurutnya, maklumat daripada kerajaan negeri menunjukkan ia kurang mendapat sambutan dalam kalangan orang muda termasuk di Pulau Pinang dan Selangor yang telahpun mempunyai litar khas.

-EDISI9

Terkini

Parlimen Malaysia, UNDP perbaharui kerjasama sehingga 2025

PARLIMEN Malaysia dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bersetuju memperbaharui kerjasama sehingga 2025. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri...

Lagi Artikel Berkaitan