27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Agong zahir RUU Kawalan Produk Tembakau usaha murni

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa bangga atas usaha kerajaan dalam menjamin kesihatan serta kesejahteraan generasi akan datang melalui Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.

Al-Sultan Abdullah bertitah, ia adalah usaha murni dan seluruh rakyat Malaysia perlu memberi sokongan dan dokongan supaya RUU berkenaan dapat dikaji serta diteliti.

“Baru-baru ini beta begitu bangga mendapat maklum dan laporan daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) yang mana satu RUU telah pun dibentangkan di Parlimen berkaitan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang mana telah pun diputuskan untuk dikaji dengan lebih mendalam.

“Beta ingin menyatakan secara peribadi, ini adalah satu usaha cukup murni yang seluruh rakyat Malaysia perlu beri sokongan dan dokongan supaya RUU dapat dikaji dan diteliti.

“Secara prinsipnya mungkin kita semua sokong diadakan undang-undang ini dan mungkin dari segi pelaksanaan, (ia) terpulang pada pihak kerajaan yang menentukan cara dan bila pelaksanaannya.

“Usaha ini agak terbaik pada beta dalam menjaga dan menentukan kesihatan generasi akan datang ini lebih terpelihara dan terjamin,” titah Seri Paduka Baginda pada Majlis Perasmian Kompleks Institut Kesihatan Negara (NIH) di Setia Alam, Selangor hari ini.

Turut mencemar duli hadir adalah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut hadir adalah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan isteri, Nori Abdullah serta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberikan perkhidmatan terbaik semasa memerangi wabak Covid-19.

“Tiada kata untuk beta mengatakan, besar kebanggaan serta berterima kasih ke atas setiap kakitangan KKM yang bertungkus-lumus bersama anggota tentera, polis dan lain-lain yang memberi seluruh jiwa dan raga dan sehingga kini kita berjaya memasuki fasa peralihan endemik ini.

“Beta harap KKM yang diketuai oleh Ketua Pengarah Kesihatan KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dapat terus meningkatkan perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih ikhlas, mesra dan jitu untuk tentukan setiap kita berada dalam keadaan selamat,” titah baginda.

NIH berperanan bagi mengenal pasti keutamaan penyelidikan, menjalankan penyelidikan dan menggunakan hasil penyelidikan untuk perkhidmatan dan program kesihatan.

Terdapat enam institusi penyelidikan dan sekretariat yang kemudian digabungkan menjadi satu organisasi penyelidikan yang dikenali sebagai NIH pada tahun 2019.

NIH telah beroperasi sepenuhnya di bawah satu bumbung dengan jumlah kakitangan seramai 1,486 orang dan merangkumi enam buah institut.

-EDISI9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan