25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

100,000 Keluarga Malaysia hadir bukti patriotisme tinggi – PM

Dataran Merdeka kembali menjadi saksi kepada sambutan 65 tahun, negara mengecapi nikmat kemerdekaan.  

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEHADIRAN lebih 100,000 orang dari pelbagai latar belakang rakyat sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-65 di Dataran Merdeka hari ini membuktikan seluruh Keluarga Malaysia mempunyai semangat dan nilai patriotisme yang tinggi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sambutan hari istimewa negara itu pada tahun ini, amat meriah dengan kehadiran lebih 100,000 rakyat yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan bangsa bagi meraikannya.

 “Alhamdulillah, hari ini Dataran Merdeka kembali menjadi saksi kepada sambutan 65 tahun, negara mengecapi nikmat kemerdekaan.  

“Sungguh meriah sekali, lebih 100,000 Keluarga Malaysia terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan bangsa hadir meraikannya,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook.

Ujar Ismail Sabri lagi, orang ramai yang datang sejak awal pagi pastinya ingin menyaksikan sendiri acara perbarisan dan perarakan oleh pelbagai kontinjen yang menjadi komponen Keluarga Malaysia.

“Saya pasti ramai yang datang seawal pagi untuk melihat acara perbarisan dan perarakan oleh pelbagai kontinjen kenegaraan, barisan hadapan, urus tadbir negara, ketenteraman awam, keselamatan negara, komponen Keluarga Malaysia serta pertunjukan terbang lintas pesawat udara.

“Kemeriahan ditunjukkan pada hari ini jelas membuktikan seluruh Keluarga Malaysia mempunyai semangat dan nilai patriotisme yang tinggi,” katanya.

Advertisements

Menurutnya, beliau berharap keamanan dan keharmonian dinikmati rakyat sehingga kini terus dikekalkan dengan membawa semangat Keluarga Malaysia.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata jumlah pengunjung yang di luar jangkaan adalah disebabkan keterujaan rakyat selepas dua tahun tidak dapat bersama-sama menyambut acara bersejarah itu secara gilang-gemilang.

“Saya teruja tengok dari malam tadi mereka dah berada di sini dan pukul 5 pagi serta sesudah subuh tempat duduk sudah penuh. Ini sambutan luar biasa, saya juga terkejut 6.45 pagi tadi jalan penuh dengan kenderaan yang diparkir.

Kemeriahan kehadiran rakyat itu berjaya menterjemahkan tema Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

Malah menurut beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menzahirkan penghargaan dan rasa kagum dengan persembahan yang ditunjukkan peserta.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan