25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Indonesia tarik balik pembekuan pekerja ke Malaysia

Selepas kedua-dua negara bersetuju mengintegrasikan sistem pengambilan pekerja antara JIIM dan KBRI

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

INDONESIA akan menarik balik pembekuan kemasukan pekerjanya ke Malaysia bermula 1 Ogos ini selepas kedua-dua negara bersetuju untuk mengintegrasikan sistem pengambilan pekerja antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI).

Menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, persetujuan itu dicapai menerusi Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama antara Malaysia dan Indonesia yang selesai bersidang pada Rabu.

Jelasnya, integrasi sistem itu akan menjadi saluran tunggal bagi pengambilan dan kemasukan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) ke Malaysia.

Sistem ini akan beroperasi dalam masa tiga minggu lagi di bawah pengawalseliaan Kumpulan Kerja Bersama Malaysia-Indonesia.

“Bagi memastikan sistem saluran tunggal ini beroperasi dengan lancar, satu projek rintis akan dilaksanakan bagi tempoh tiga bulan sebaik integrasi sistem selesai,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Saravanan turut memaklumkan telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Ketenagakerjaan Republik Indonesia mengenai isu pemerdagangan manusia termasuk buruh paksa.

“Kami komited untuk meneruskan sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan dan memperkasakan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia bagi menangani isu ini.

“Saya percaya penyelesaian isu-isu dalam MOU (memorandum persefahaman) PDI ini akan mendorong kepada kelancaran kemasukan pekerja warga Indonesia ke Malaysia dalam sektor pekhidmat domestik mahupun sektor lain yang dibenar untuk penggajian pekerja warga asing,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, majikan dengan kuota pekerja warga asing yang telah diluluskan oleh Kementerian Sumber Manusia digesa untuk segera membuat bayaran levi dengan JIM manakala bagi majikan yang ingin menggajikan pekerja warga Indonesia, mereka boleh membuat urusan pengambilan mulai Isnin.

Sebelum ini, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono mengumumkan pembekuan sementara ke atas penghantaran pekerja warga Indonesia ke Malaysia berikutan pelanggaran syarat-syarat dalam MoU bagi pengambilan dan perlindungan PDI di Malaysia.

Jelas Hermono, penggunaan berterusan Sistem Maid Online (MOS) oleh Malaysia dalam pengambilan PDI merupakan pelanggaran MoU yang ditandatangani pada 1 April lalu.-Edisi 9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan