25.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Individu ada gejala cacar monyet digesa buat pemeriksaan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

INDIVIDU yang mempunyai gejala cacar monyet digesa segera ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, gesaan itu dibuat susulan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa jangkitan cacar monyet yang berlaku pada masa ini adalah sebagai Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC).

“Gejala cacar monyet adalah demam, keletihan, sakit kepala dan ruam makulapapular yang bermula di muka sebelum menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki diikuti bahagian-bahagian tubuh yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sekiranya mengalami gejala berkenaan, individu tersebut perlu elak daripada kontak dengan orang lain bagi mengelakkan penularan jangkitan.

“Bagi pengendali premis-premis yang menyediakan perkhidmatan yang melibatkan kontak kulit dengan pelanggan seperti spa, urutan dan lain-lain aktiviti berisiko dimohon untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran.

“Mereka juga perlu memastikan pelanggan sihat tidak mengalami gejala cacar monyet dan tiada ruam makulapapular,” katanya.

Khairy berkata, sekiranya terdapat pelanggan yang mempunyai gejala tersebut, nasihatkan mereka untuk segera mendapatkan rawatan.

“Pekerja bergejala dinasihatkan untuk tidak hadir bertugas dan segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Ujarnya, Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan termasuk hospital dan klinik swasta dalam pemantauan serta pengesanan kes cacar monyet.

Advertisements

“Sehingga 23 Julai 2022, sebanyak sembilan kes disyaki cacar monyet telah dinotifikasi kepada KKM dan kesemuanya disahkan negatif,” katanya.

Menurutnya, virus cacar monyet boleh disebarkan melalui sentuhan langsung dengan ruam atau lesi yang terjadi pada kulit, sama ada lesi yang baharu atau sudah menjadi kuping ataupun cairan daripada lesi tersebut.

“Transmisi virus juga boleh berlaku melalui sentuhan langsung dengan haiwan yang dijangkiti sama ada dengan cara digigit atau dicakar oleh haiwan terbabit, atau dengan cara memakan ataupun menggunakan hasil produk haiwan berkenaan.

“Sentuhan dengan peralatan yang tercemar dengan lesi kulit ataupun cairannya juga boleh menyebabkan jangkitan,” katanya.

Tegas Khairy, kes cacar monyet boleh menularkan jangkitan kepada individu lain dalam tempoh sehari sebelum terjadinya lesi pada kulit sehingga 21 hari daripada bermulanya gejala atau sehingga lesi pada kulit menjadi kuping dan pesakit tidak lagi bergejala.

“Kes jangkitan cacar monyet boleh pulih tanpa sebarang rawatan,” katanya.

Sejak 1 Mei sehingga 23 Julai, seramai 531,630 pengembara yang direkodkan tiba dari negara yang melaporkan kes cacar monyet aplikasi MySejahtera telah mengeluarkan Health Alert Monkeypox kepada mereka.

Semua pengembara bukan warganegara hendaklah mengisi pas kembara dalam aplikasi MySejahtera dan pengembara yang tiba dari negara-negara melaporkan cacar monyet akan menerima pop-up mesej kesihatan setiap hari melalui MySejahtera untuk mengingatkan mereka agar memantau gejala jangkitan cacar monyet dan status kesihatan.

Pengembara-pengembara yang tiba dari negara-negara terbabit, dinasihatkan memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan cacar monyet untuk tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan