28.5 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Generasi baharu Felda dipermudah miliki kediaman sendiri

Mesti Baca

LEBIH 2,000 penyewa Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) kini berpeluang memiliki kediaman yang diduduki apabila bayaran sewaan bulanan akan diserapkan sebagai deposit bagi membeli kediaman tersebut.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena sambutan Hari Peneroka Felda Kebangsaan di Bera, Pahang hari ini.

Menurut Perdana Menteri, sebanyak RM7.6 juta sewaan bulanan yang telah dibayar oleh 2,025 penghuni PGBF serta sewaan yang akan dikutip selepas ini dijadikan deposit apabila mereka membeli kediaman PGBF tersebut.

“Sebagai contoh, bayaran sewaan selama 36 bulan berjumlah RM10,800 akan dijadikan deposit lantas mengurangkan pembiayaan satu unit rumah tengah yang berharga RM90,000 kepada RM79,200 sahaja,” kata beliau dalam ucapan perasmiannya.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh.

Ismail Sabri berkata, bagi baki 1,400 unit PGBF yang belum disiapkan dengan kos pembangunan keseluruhan RM204 juta, Felda akan meneruskan projek-projek tersebut melalui inisiatif pembiayaan swasta.

Beliau berkata, di bawah inisiatif itu, kos pembinaan akan ditanggung oleh pihak pemaju manakala Felda tidak perlu mengeluarkan sebarang dana bagi menampung kos.

Perdana Menteri berkata, projek rintis itu akan dilaksanakan di Felda Bukit Aping Timur dan Felda Pasak di Johor serta Felda Chiku 5 di Kelantan.

“Penambahbaikan kepada model PGBF yang lebih mampan juga telah dilaksanakan dengan pengenalan inisiatif lot generasi Felda.

“Sehingga kini, sebanyak 8,670 unit lot generasi telah dikenal pasti termasuk 3,200 unit yang telah saya umumkan di Johor pada bulan Mac lalu,” kata beliau.

Ismail Sabri berkata, buat masa ini, inisiatif tersebut akan dilaksanakan di negeri Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Terengganu, Perak, Kelantan dan Kedah manakala di Parlimen Bera sahaja, sebanyak250 lot telah dikenal pasti iaitu di Felda Kumai dan Felda Triang 1.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bera itu turtut mengumumkan dana sebanyak RM20 juta menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan bagi membantu generasi baharu dan memudahkan proses pembiayaan bagi pembinaan rumah di lot generasi.

Beliau berkata, dana itu sebagai cagaran kepada pinjaman-pinjaman perumahan yang bakal dibuat oleh generasi baharu FELDA ini.

“Oleh itu, mereka tidak perlu menyediakan cagaran bagi membuat pinjaman tertakluk sehingga dana ini habis dimanfaatkan,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Siti Hajar, pendiam tapi aktif dalam aktiviti kemasyarakatan

BERBEZA dengan mahasiswa lain yang aktif di kampus, gadis ini sering dianggap pendiam, walaupun banyak menyertai malah turut berpeluang...

Lagi Artikel Berkaitan