DUA lelaki maut manakala sembilan lagi mangsa terselamat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 144.8 berdekatan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pagoh arah utara, Johor, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fadli Ismail, berkata kejadian pada jam 11.02 malam itu membabitkan dua jenis kenderaan iaitu Toyota Wish dan Honda.
Menurutnya, keseluruhan mangsa yang terbabit adalah seramai 11 orang.
“Terdapat tiga mangsa tercampak keluar dari kenderaan sejauh 20 meter dan 50 meter manakala seorang tersepit di bawah sebuah kenderaan.
“Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Fadli berkata, pihak bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kenderaan menggunakan peralatan khas menyelamat kemalangan jalan raya.
“Kedua-dua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala mangsa yang cedera dibawa ke hospital oleh ambulans.
Menurutnya, operasi menyelamatkan mangsa kemudiannya ditamatkan pada jam 12.52 pagi.
Untuk rekod, sempena operasi berkenaan seramai lapan anggota bomba dan satu jentera LFRT dari BBP Pagoh dihantar ke tempat kejadian.
-EDISI9