26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang dilancarkan esok

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

BULAN Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 bakal dilancarkan di Dataran Putrajaya esok, dengan penyertaan pelbagai peringkat Keluarga Malaysia.

Majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 bertema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ itu akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Antara tarikan sempena pelancaran itu ialah persembahan lima tarian tradisional yang menterjemahkan kepelbagaian kaum di negara ini, dengan diiringi lagu Keluarga Malaysia oleh Pentarama Jabatan Penerangan.

Selain itu, acara turut dimeriahkan dengan program Berjalan Teguh Bersama yang akan disertai Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Aktiviti berjalan kaki secara santai itu dijadualkan bermula dari Dataran Putra hingga Istana Kehakiman, di sini, dengan dianggarkan lebih 10,000 Keluarga Malaysia akan menyertainya.

Persembahan jalanan termasuk hiburan, pancaragam dan persembahan tradisional akan menyambut peserta Berjalan Teguh Bersama di setiap ‘check point’ atau tempat pemeriksaan yang ditetapkan di sepanjang laluan sejauh 2.7 kilometer itu.

Program berkonsepkan aktiviti berjalan beramai-ramai secara santai bersama keluarga yang membawa mesej semangat perpaduan dan kebersamaan rakyat Malaysia itu adalah satu daripada inisiatif bagi mendukung aspirasi Keluarga Malaysia.

Bagi menyemarakkan semangat patriotisme pula, Perdana Menteri akan turut melepaskan konvoi Kembara Merdeka Keluarga Malaysia 2022.

Sebelum ini, Annuar dipetik berkata, beliau mahu Hari Kebangsaan 2022 disambut dengan pembaharuan, iaitu membabitkan penyertaan pada peringkat komuniti dan keluarga supaya tema dan konsep sambutan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ dapat dirakyatkan sepenuhnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 berkata, ia penting kerana sambutan tidak seharusnya hanya bersifat majlis besar yang dilaksanakan pada peringkat nasional.

Sebaliknya, beliau berkata, ia perlu menonjolkan cara setiap keluarga atau komuniti dari pelbagai latar belakang dalam menyambut hari bersejarah negara.

Pada 2020, pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang diadakan secara sederhana di Dataran Perdana, Perdana Putra, di sini, dengan kehadiran terhad bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Tahun lalu, pelancarannya hanya diadakan secara dalam talian memandangkan negara ketika itu berada dalam Pelan Pemulihan Negara bagi mengawal penularan COVID-19, dan tiada acara sambutan secara fizikal diadakan.

Dalam pada itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia memaklumkan, tiga aktiviti utama bakal berlangsung untuk menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Ia merangkumi pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 di Putrajaya; Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur; dan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan di Melaka.

Di samping itu, pelbagai program dan pertandingan berunsur kenegaraan telah disusun bagi memupuk serta menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara dalam kalangan Keluarga Malaysia.

Antaranya, Pertandingan ILHAM Merdeka TikTok Challenge, Pertandingan KLIK@Merdeka, Pertandingan Bintang Smule, Pertandingan Bintang Patriotik, Pertandingan Mewarna dan Melukis MYDOODLE@Merdeka, Program Pengisahan Kenegaraan, serta Sayembara Sajak Merdeka, yang semuanya akan bermula esok hingga 16 September depan.

– BERNAMA

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan