27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Agong ucap tahniah kepada skuad Harimau Malaya

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada skuad bola sepak kebangsaan dan barisan kejurulatihan atas kejayaan mara secara merit ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Istana Negara dalam satu kenyataan di Facebook menyatakan Seri Paduka menzahirkan rasa syukur dan sukacita atas kejayaan serta semangat juang yang telah dipamerkan di pusingan kelayakan yang berakhir semalam.

Al Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada para penyokong atas sokongan padu yang telah diberikan kepada skuad Harimau Malaya dalam perjuangan mengakhiri penantian selama 42 tahun.

“Seri Paduka menzahirkan harapan semoga pencapaian ini menjadi suntikan semangat buat skuad kebangsaan untuk lebih bekerja keras mencapai hasil yang terbaik di kejohanan Piala Asia 2023 kelak.

“Seri Paduka mendoakan semoga skuad kebangsaan memperoleh kejayaan dan melakarkan sejarah baharu di kejohanan tersebut. Tahniah dan teruskan perjuangan di kejohanan Piala Asia 2023!” menurut kenyataan itu hari ini.

Advertisements

Malaysia menamatkan penantian lebih empat dekad apabila melayakkan diri secara merit ke Piala Asia 2023 selepas membenam Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Keempat-empat gol pasukan negara malam tadi masing-masing dijaringkan Muhammad Safawi Rasid, Dion Cools, Muhammad Syafiq Ahmad dan pemain gantian Darren Lok.

Gol tunggal pasukan Bangladesh dijaringkan Mohammad Ibrahim.

Kali terakhir Malaysia membuat penampilan di Piala Asia adalah pada edisi 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, namun sudah 42 tahun pasukan negara gagal layak secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

UM mohon maaf berhubung kenyataan penceramah pro-Israel

UNIVERSITI Malaya (UM) memohon maaf berhubung kenyataan kontroversi seorang penceramah jemputan pro-Israel yang menuduh tindakan ahli politik Malaysia menyokong...

Lagi Artikel Berkaitan