34 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kuala Lumpur, Selangor paling banyak kerja kosong

Profesional pengiklanan dan pemasaran serta profesional pentadbiran paling banyak kekosongan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KUALA Lumpur dan Selangor paling banyak kekosongan pekerjaan yang ditawarkan iaitu melebihi 50 peratus daripada keseluruhan tawaran kerja sepanjang suku pertama tahun ini.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada 159,148 kekosongan jawatan yang diiklankan, 42.7 peratus daripadanya terdapat di Kuala Lumpur.

Manakala Selangor pula merekodkan jumlah kekosongan kedua tertinggi iaitu 16.9 peratus, manakala Johor, Pulau Pinang dan Melaka masing-masing 7.3 peratus, 3.9 peratus dan 1.7 peratus.

“Secara keseluruhannya kekosongan jawatan yang diiklankan melalui dalam talian melonjak kepada 159,148 atau 76.4 peratus bagi suku pertama tahun 2022 berbanding tahun 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata, bulan Februari lalu mencatatkan iklan tertinggi iaitu sebanyak 67,172 kekosongan manakala bagi bulan Januari dan Mac, masing-masing berjumlah 48,924 dan 43,052 kekosongan.

Bagi kategori pekerjaan pula, beliau berkata, kekosongan terbanyak adalah profesional pengiklanan dan pemasaran iaitu sebanyak 44.9 peratus diikuti juruteknik dan profesional bersekutu iaitu sebanyak 17.7 peratus sementara pengurus pula 11.3 peratus.

“Mengikut susunan, lima pekerjaan paling popular yang ditawarkan dalam tempoh rujukan adalah profesional pengiklanan dan pemasaran, profesional bersekutu pentadbiran, pengarah urusan dan ketua eksekutif, akauntan dan juruaudit dan pembangun perisian,” katanya.

Beliau berkata, data itu diperoleh menerusi Analisis Data Raya Job Market Insights dan My Job Profile: Lanskap Penawaran Pekerjaan di Malaysia, bagi suku pertama 2022 yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Daripada perspektif ekonomi pula, Mohd Uzir berkata, sektor perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal menjadi sektor utama yang menyumbang kepada penawaran pekerjaan bagi pencari kerja dalam tempoh tersebut.

“Manakala, empat lagi sektor dengan penawaran pekerjaan tertinggi adalah sektor pembuatan; aktiviti profesional, teknikal dan saintifik; aktiviti kewangan dan insuran takaful serta aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan jumlah kekosongan jawatan yang diiklankan dalam talian itu, secara keseluruhannya menunjukkan ekonomi masih dalam tempoh pemulihan selaras dengan peralihan fasa pandemik kepada endemik.

Katanya, dengan peralihan fasa tersebut, semua sektor ekonomi dan sempadan negara telah dibuka secara berperingkat dan diharapkan dapat mengurangkan impak pandemik, memulihkan ekonomi negara dan seterusnya mencipta lebih banyak peluang pekerjaan untuk diisi oleh pencari kerja.

-EDISI9

Terkini

KKDW peruntuk RM46.6 juta untuk pembangunan di Selangor

KEMENTERIAN Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM46.6 juta untuk pelbagai pembangunan infrastruktur serta komuniti, kemahiran dan pembiayaan...

Lagi Artikel Berkaitan