SEMUA pihak diseru tidak memandang rendah dan menghina perjuangan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa diplomatik, bahasa ilmu mahupun bahasa komersial.
Seruan itu dibuat Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim menerusi Facebook peribadi beliau yang ditujukan kepada semua pemimpin baharu, lama serta mantan-mantan menteri di negara ini.
Menurut Rais, penggunaan bahasa Inggeris boleh diamalkan seperti biasa namun bahasa Melayu perlu dipeliharan memandangkan ia adalah bahasa kebangsaan.
“Demi Perkara 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan wajib diberi ruang dan telapaknya sebagai bahasa ilmu, bahasa diplomatik, bahasa komersial dan bahasa sains teknologi. Ini Malaysia bukan Great Britain.
“Barang siapa yang tak senang dengan apa yang hakiki bagi Bahasa Melayu boleh berhujah tetapi jangan menakut-nakutkan rakyat bahawa negara ini akan jatuh ranap di mata dunia semata-mata kerana memartabatkan bahasa Melayu,” katanya.
Rais yang terkenal sebagai pemimpin yang memperjuangkan bahasa Melayu berkata, perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan tidak akan menjatuhkan mana-mana negara.
“Tapi memang boleh jatuh kalau kleptokrat terus berkuasa.
“Dalam vokasi hidup, kalau hendak ilmu apapun boleh dicapai dengan bahasa sendiri. Cuma mahu tak mahu sahaja. Kuatkanlah azam politik.
“Bahasa Inggeris ada macam-macam nilai utiliti padanya. Komersial, undang-undang, diplomatik, perubatan, sains dan teknologi.
“Apa salahnya jika bahasa Melayu turut mempunyai nilai-nilai ini?” kata beliau.
Pada masa yang sama beliau turut menyeru Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin untuk memastikan guru-guru yang mengajar subjek Bahasa Melayu membuktikan kebolehan dan keupayaan berbahasa kebangsaan untuk bersaing dengan bahasa-bahasa lain.
“Didik betul-betul. Bahasa Inggeris, bahasa Mandarin, bahasa Tamil semua boleh diajar dan dipelajari.
“Tapi bahasa Melayu wajib dibahasailmukan. Jika tidak, ia akan hilang nilai ekonominya dari segi kepenggunaan,” katanya.
Semalam, bekas menteri Kabinet, Tan Sri Rafidah Aziz mengkritik usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memartabatkan bahasa Melayu khususnya di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, menguasai bahasa bukan perkara terpenting tetapi yang perlu adalah ekspresi dan komunikasi.
“Kalaupun kamu bagus sangat dalam bahasa Melayu dan bagus dalam ucapan atau puisi, tapi isi yang disampaikan tiada, maka apa gunanya? Kualiti apa yang kamu perkatakan dan lakukan itu lebih penting, bukan bahasa.
“Bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa yang diiktiraf, jadi kenapa kita ke belakang iaitu dengan menekankan Bahasa Melayu? Saya tak faham,” katanya seperti dilapor The Star.
Sebelum ini, Perdana Menteri telah mengeluarkan arahan agar bahasa Melayu digunakan dalam surat-surat dan laporan rasmi kerajaan termasuk untuk urusan dengan negara asing.
Malahan Ismail Sabri juga menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama yang menyampaikan ucapan dalam bahasa Melayu dalam persidangan peringkat antarabangsa di luar negara, dengan terbaharu di Forum Nikkei di Tokyo, Jepun. – Edisi 9