31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Tiga beranak maut nahas tiga kenderaan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TIGA beranak maut selepas kereta Perodua Kancil dinaiki mereka terbabit nahas tiga buah kenderaan di Kilometer 128, Jalan Kuantan-Johor Bharu, di Rompin, Pahang hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, dalam nahas pada jam 1.30 tengah hari itu kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala.

Menurutnya, mangsa yang terkorban adalah Nur Rawiyah Abu Samah, 25, yang juga pemandu kereta manakala dua lagi mangsa iaitu ibu dan bapa Nur Rawiyah – Saripah Ab Malek, 59, dan Abu Samah Mohamed, 74, kesemuanya beralamat di Kampung Gading, Jalan Muadzam Shah, Rompin.

“Cucu Abu Samah dan Saripah yang berusia satu tahun Muhammad Harraz Mikhael Shafiq Hayqal bagaimanapun dilaporkan tidak cedera.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila van dipandu pekerja syarikat penghantaran dari Leban Chondong ke Kuala Rompin hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu melanggar kereta mangsa dan sebuah lori,” katanya hari ini.

Kamarulzaman berkata, pemandu van berusia 24 tahun dari Kampung Tengah, Kuantan dilaporkan patah bahu dan cedera kedua-dua kaki manakala pemandu lori berumur 49 tahun dari Rompin luka di tangan.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata Pusat Gerakan Operasi (PGO) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Rompin diketuai Ketua Balai Muhammad Aizudden Jusnaidi bersama 10 anggota dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

“Kita melakukan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan memotong dan mangsa yang mengalami kecederaan diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sementara mangsa yang meninggal diserahkan kepada polis dan operasi menyelamat selesai kira-kira jam 2.20 petang,” katanya.

Katanya, ketika kejadian, keadaan jalan kering berikutan cuaca panas di kawasan berkenaan hari ini dan laluan di situ lurus.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan