30.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 20, 2024

Malaysia, Korea Selatan meterai MoU, perkukuh pertahanan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

MALAYSIA dan Korea Selatan sepakat mengukuhkan kerjasama pertahanan dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara baru-baru ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, MoU yang dimeterai itu bukan sahaja akan menjadi instrumen perundangan yang akan mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

“Malahan, ia juga akan menjadi dokumen rujukan utama dalam interaksi, program dan aktiviti bersama antara Angkatan Tentera Malaysia dengan Angkatan Tentera Republik Korea.

“Saya telah mengadakan mesyuarat dua hala secara hibrid dengan rakan sejawat, Tuan Yang Terutama (TYT) Suh Wook, Menteri Pertahanan Nasional Republik Korea.

“Mesyuarat dua hala ini amat bermakna dan membawa manfaat penting kepada kedua-dua negara khususnya dalam konteks diplomasi pertahanan,” katanya pada sidang akhbar majlis menandatangani MoU tersebut di sini baru-baru ini, lapor Kosmo!.

Beliau berkata, MoU itu amat menggembirakan kerana usaha ke arah untuk menandatanganinya telah dilaksanakan sejak tiga tahun lepas.

“Ia juga perkembangan yang cukup signifikan memandangkan sebelum ini hubungan pertahanan antara Malaysia dan Korea tiada persefahaman secara rasmi sekali gus menjadi kekangan untuk meningkatkan lagi kerjasama pertahanan.

“MoU ini akan menjadi penanda untuk memperkukuh hubungan pertahanan dua hala dan bagi angkatan tentera kedua-dua negara bekerjasama secara lebih erat, selaras dengan komitmen berterusan Malaysia dan Republik Korea dalam usaha meningkatkan hubungan dua hala yang sedia akrab ke tahap ‘Perkongsian Strategik’,”katanya.

Advertisements

Selain itu, Hishammuddin berkata, bagi memastikan perancangan di bawah MoU ini dapat dilaksanakan dengan baik dan berjalan lancar, beliau dan juga TYT Suh Wook telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja antara Kementerian Pertahanan kedua-dua negara yang akan menerajui pelaksanaan MoU tersebut.

Dengan Malaysia dan Republik Korea telah mempunyai MoU bagi kerjasama pertahanan antara angkatan tentera, inisiatif seterusnya adalah kedua-dua negara sedang berusaha ke arah MoU berkaitan industri pertahanan, yang mana ia akan turut berkait rapat dengan Dasar Industri Pertahanan serta Keselamatan Negara (DIPKN) yang sedang dirangka oleh Kementerian Pertahanan.

“Sebelum ini, kita telah bekerjasama dengan banyak negara rakan tradisional seperti Itali, Perancis dan Amerika Syarikat.

“Hari ini membuktikan Malaysia sedang berusaha memperluaskan lagi kerjasama dengan lebih banyak negara seperti Republik Korea, Turki dan India,”ujarnya.

Dalam pada itu katanya, beliau dan TYT Suh Wook turut mengambil kesempatan mengadakan perbincangan mengenai kerjasama pelbagai hala, khususnya berkenaan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM).

“Selaku Pengerusi Bersama bagi ADMM-Plus Expert Working Group on Cyber Security, kami turut menyentuh tentang ancaman keselamatan dalam domain keselamatan siber.

“Di akhir mesyuarat, saya turut menyuarakan keyakinan bahawa dengan sokongan Republik Korea, inisiatif Kementerian Pertahanan mengenai Rangkaian Pertahanan Siber ASEAN (ASEAN Cyber Defence Network – ACDN) berupaya dilaksanakan secara lebih efektif,” katanya.

Advertisements

Terkini

Akmal kekal luar Kabinet selagi UMNO belum dapat kepercayaan

KETUA Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berpendirian untuk terus kekal berada di luar Kabinet selagi partinya belum mendapat kepercayaan...

Lagi Artikel Berkaitan