PENGGUNAAN katil di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi merawat pesakit COVID-19 di hospital-hospital di Kuala Lumpur mencapai 67 peratus, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Manakala bagi katil bukan ICU pula, menurut beliau, Putrajaya dan Selangor menunjukkan peratusan pengisian masing-masing 88 peratus dan 64 peratus.
“Bagi katil Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) tiada negeri yang menunjukkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus.
“Manakala pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan menurun kepada 162 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 18 peratus,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semalam jangkitan baharu COVID-19 menurun kepada 17,476 kes berbanding 18,560 kelmarin.
“Ia menjadikan jumlah kes kumulatif berjumlah 3,977,403 setakat ini,” katanya.
Jelasnya, sebanyak 17,321 kes sembuh dicatatkan dengan 164 kes import merangkumi 159 warga negara dan lima bukan warga negara.
“Kes tempatan mencatatkan 17,312 kes yang mana 16,401 adalah warga negara dan 911 bukan warga negara,” katanya.
Dr. Noor Hisham berkata, sebanyak 263 kes memerlukan rawatan di ICU dengan 125 kes disahkan COVID-19, 138 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan.
“Manakala kes memerlukan bantuan pernafasan sebanyak 162 kes dengan 72 kes disahkan COVID-19, 90 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan,” katanya.
Selain itu katanya, sebanyak 897 kes COVID-19 dimasukkan ke hospital semalam dengan 429 kes (47.8 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5 dan 468 kes (52.2 peratus) adalah kategori 1 dan 2.-Edisi 9