30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Agak gopoh ulas Muhyiddin perlu berundur Presiden Bersatu

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

ULASAN penganalisis politik, Prof. Dr. Azmi Hassan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu berundur sebagai Presiden Bersatu susulan kegagalan Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor adalah agak gopoh.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri itu, Datuk Dr Marzuki Mohamad turut mempersoalkan niat sebenar ulasan berkenaan dibuat sama ada untuk melihat Bersatu menjadi lebih kuat atau sekadar komen cakap buang sahaja.

Apapun menurut beliau, dalam dunia politik komen sedemikian mudah mendapat tarikan dan dijadikan polemik oleh mereka yang mempunyai motif tertentu.

“Saya ingin berikan sedikit pandangan balas. Jika kekalahan pertama PN dalam PRN Johor dijadikan sebab mengapa Tan Sri Muhyiddin perlu berundur, maka ramai Presiden parti lain yang mesti berundur juga.

“Ada parti yang semua calonnya hilang wang deposit. Pengerusi dan Presiden parti ini mesti berundur lebih awal daripada Muhyiddin. Ada parti yang kerusinya merosot hanya tinggal satu. Presiden parti ini pun mesti berundur jugalah agaknya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Marzuki turut memberikan contoh kewajaran ulasan sedemikian dalam setiap parti politik di negara ini apabila berhadapan dengan kekalahan pilihan raya.

“Jika lojik Presiden parti mesti berundur apabila parti kalah pilihan raya, maka banyak parti di negara kita telah mengalami pertukaran kepimpinan akibat partinya kalah. Tetapi perkara tersebut tidak berlaku kepada semua parti.

“Pas misalnya tidak pernah menang dalam pilihan raya persekutuan kecuali di Kelantan, Kedah dan Terengganu. Presiden Pas tidak bertukar dengan sebab Pas kalah pilihan raya.

Sebaliknya menurut beliau, Pas terus teguh malah parti itu menjadi sebahagian daripada kerajaan Persekutuan di bawah kerajaan PN pada 1 Mac 2020 lalu.

“Ada juga parti yang mengalami kekalahan dalam banyak pilihan raya, tetapi akhirnya menang tanpa menukar kepimpinannya. Misalnya PKR di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah mengalami kekalahan dalam PRU tahun 1999, 2004, 2008 dan 2013 tetapi akhirnya menang dalam PRU 2018.

“Adakah kekalahan PN dalam PRN Johor adalah amat teruk sehinggakan Muhyiddin mesti letak jawatan?

“Dari segi bilangan kerusi mungkin nampaknya begitulah. Tetapi dari segi trend sokongan pengundi, data menunjukkan sebaliknya,” katanya.

Dalam PRN Johor menurut beliau, PN adalah satu-satunya parti yang mencatat peningkatan sokongan pengundi Melayu berbanding BN dan PH.

“Jika undi Pas dalam PRU 2018 dijadikan undi asas PN, sokongan pengundi Melayu Johor kepada PN telah meningkat daripada 18.1 peratus dalam PRU 2018 kepada 34.5 peratus dalam PRN 2022.

“Sebaliknya sokongan pengundi Melayu kepada BN telah merosot daripada 58.8 peratus dalam PRU 2018 kepada 51.1 peratus dalam PRN 2022,” katanya.

Menurutnya, data berkenaan menunjukkan berlaku peralihan hampir lapan mata peratus sokongan pengundi Melayu BN kepada PN.

“Perlu diingat, Johor adalah kubu kuat BN. Sokongan pengundi Melayu kepada PH juga telah merosot dengan ketara iaitu daripada 28.3 peratus dalam PRU 2018 kepada 11.3 peratus dalam PRN 2022.

“Sebanyak 17 mata peratus sokongan Melayu PH telah beralih kepada PN. Bukankah ini suatu pencapaian kepda PN iaitu sebuah parti baharu di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin?,” tegas Marzuki.

Malah menurut beliau, sebuah kajiselidik tinjauan pendapat umum pengundi negeri Johor yang dijalankan oleh Institut Masa Depan Malaysia dengan kerjasama Merdeka Centre for Opinion Research pada 4 hingga 21 Februari lalu mendapati Muhyiddin adalah pemimpin paling popular di negeri Johor dengan approval rating sebanyak 52 peratus berbanding Datuk Seri Najib Razak 39 peratus, Tun Dr Mahathir 35 peratus, Lim Guang Eng 24 peratus dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi 14 peratus.

“Muhyiddin juga mendahului sebagai calon Perdana Menteri iaitu dengan 29 peratus responden bersetuju berbanding Datuk Seri Anwar Ibrahim 23 peratus dan Datuk Seri Ismail Sabri 16 peratus,” katanya.

Menurut beliau lagi, dalam kalangan responden Melayu, Muhyiddin memperolehi 41 peratus manakala Ismail Sabri 22 peratus dan Anwar 10 peratus.

“Trend peralihan sokongan pengundi Melayu yang ketara kepada PN dalam PRN negeri Johor mungkin juga disebabkan oleh populariti Muhyiddin sebagai bekas Perdana Menteri dan anak Johor,” tegasnya.

Terdahulu, Azmi dilaporkan berkata Bersatu berada dalam situasi “sangat terdesak” dan memerlukan seseorang untuk mengambil alih kepimpinan daripada Muhyiddin Yassin.

Bahkan, penganalisis politik itu turut menyatakan PN kelihatan suram terutama selepas kegagalan percubaan untuk menjalin beberapa bentuk kerjasama dengan Pejuang dan PH.

Azmi berkata, terdapat bekas Ahli Parlimen Umno dalam Bersatu yang boleh mengambil alih kepimpinan daripada Muhyiddin, tetapi persoalannya adakah ahli Bersatu yang berada dalam parti itu sejak awal akan menerimanya.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan