25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Tiada tol di Tambak Johor, Linkedua selama seminggu – PM

Keputusan pelepasan tol ini akan memanfaatkan lebih 300,000 perjalanan rentas sempadan Malaysia-Singapura bagi pemilik-pemilik kenderaan

Mesti Baca

PERDANA Menteri hari ini mengumumkan pengecualian bayaran tol di plaza-plaza tol Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) di kedua-dua pintu masuk sempadan negara dengan Singapura mulai 1 April ini.

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kedua-dua pintu masuk tersebut ialah di CIQ Bangunan Sultan Iskandar di Tambak Johor dan Lebuh Raya Linkedua di Tanjung Kupang, Johor.

Beliau berkata, pengecualian bayaran tol tersebut melibatkan semua jenis kenderaan selama tujuh hari, bermula 1 April sehingga 7 April 2022.

“Ia adalah selaras dengan pendekatan untuk memudahcara perjalanan rentas sempadan dengan Singapura.

“Pengecualian ini adalah untuk rakyat Malaysia dan pengguna menambah nilai atau memperbaharui Touch and Go dan Smart Tag,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan bahawa sempadan bagi kedua-dua negara dibuka mulai 1 April dan pengembara yang telah lengkap divaksinasi dibenar merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan.

Perdana Menteri berkata, pemberian pengecualian bayaran tol tersebut melibatkan perjalanan masuk dan keluar menerusi kedua-dua plaza tol yang terlibat sepanjang tempoh tersebut.

Kata beliau, keputusan itu turut mengambil kira penutupan sempadan Malaysia dan Singapura sejak dua tahun lalu dan bagi memastikan kelancaran lalu lintas di kedua-dua plaza tol tersebut dengan pembukaan sempadan laluan darat berkenaan.

“Pengecualian ini adalah tambahan kepada pengecualian Caj Jalan (CJ) yang dikenakan kepada kenderaan persendirian pendaftaran Singapura apabila memasuki Malaysia melalui laluan darat di kedua-dua lokasi.

“PLUS menganggarkan sekurang-kurangnya 42,000 kenderaan akan memasuki Malaysia menerusi Tambak Johor dan Linkedua setiap hari.

“Keputusan pelepasan tol ini akan memanfaatkan lebih 300,000 perjalanan rentas sempadan Malaysia-Singapura bagi pemilik-pemilik kenderaan,” kata beliau.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, pihak PLUS dengan kerjasama kerajaan negeri Johor serta kementerian dan agensi yang berkaitan juga sedang giat mengadakan persiapan terakhir bagi memastikan perjalanan yang lancar di lebuh raya bersempena dengan pembukaan semula ini.

Katanya, ini juga termasuk persiapan di plaza-plaza tol, kawasan-kawasan rehat dan semua kemudahan awam yang disediakan di Lebuhraya PLUS.

“Kerajaan mengalu-alukan kepulangan rakyat Malaysia di Singapura dan ketibaan rakyat Singapura ke Malaysia dengan pembukaan semula sempadan negara ini,” kata Perdana Menteri. – Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan