31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Sultan Johor biayai kos bina semula gerai terbakar

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar akan membiayai pembinaan semula lima lot gerai yang musnah terbakar di Felda Ulu Tebrau, Jumaat lalu.

Sultan Ibrahim hari ini berkenan melawat kawasan kejadian tersebut sekali gus membawa kelegaan kepada golongan peniaga yang terjejas berkenaan.

Lima peniaga yang terjejas pendapatan selepas gerai mereka di Kawasan Perniagaan Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru di sini, musnah dalam kebakaran pada Jumaat lalu, bersyukur dengan kurniaan bantuan Sultan Johor.

Baginda Tuanku Sultan yang meluangkan hampir 30 minit bertemu mangsa-mangsa kebakaran, bertitah bahawa kos pembinaan semula gerai-gerai yang terjejas akan dibiayai oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ).

Titah Baginda disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh peniaga-peniaga yang terjejas serta penduduk setempat.

Sultan Ibrahim turut menitahkan wakil baginda, Mejar Cina Datuk David Wong untuk melawat lokasi kejadian serta menilai beberapa perkara bagi memulakan pembinaan semula lot gerai berkenaan dengan segera.

“Gerai-gerai ini merupakan tempat mereka mencari rezeki demi keluarga masing-masing. Saya akan biayai sepenuhnya kos pembinaan semula gerai.

Advertisements

“Saya sendiri akan buat rekabentuk gerai di mana, amat selesa jika dilengkapi dengan tandas dan dapur serta pendawaian elektrik yang selamat,” titah Baginda dalam satu hantaran di Facebook rasmi, hari ini.

Sementara itu, peniaga makanan char kway teow, Mohd Razif Amat, berkata beliau mula berniaga sejak 2014 dan ketika kejadian dia berada di rumahnya.

“Gerai ini saya sewa bersama Pertubuhan Peneroka Rancangan (PPR), namun amat sedih apabila ia musnah dalam kebakaran.

“Saya langsung tidak sangka keberangkatan DYMM Sultan Johor pada hari ini akan membawa satu khabar baik serta rezeki buat kami semua yang terjejas.

“Terima Kasih Tuanku. Patik menjunjung setinggi-tinggi kasih. Moga Tuanku Sultan sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan panjang umur,” katanya.

Kejadian melibatkan tiga kedai makan, dan masing-masing sebuah kedai menjual peralatan tulis serta kedai basikal.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan