24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Kerajaan hargai peranan PDRM, terus komited kekal keharmonian

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN menghargai peranan dimainkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai barisan hadapan yang banyak membantu meringankan beban Keluarga Malaysia ketika pandemik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini dibuktikan komited PDRM dalam memerangi jenayah dan mengekalkan keharmonian masyarakat serta keamanan negara, meskipun seluruh kekuatan dikerahkan untuk penugasan Op COVID-19, sejak dua tahun lalu.

“Ditambah dengan kejayaan mengekalkan momentum kecemerlangan dalam penurunan indeks jenayah negara.

“Jenayah indeks bagi 2021 menunjukkan penurunan iaitu 52,974 kes berbanding 65,623 kes pada tahun sebelumnya.

“Jenayah indeks turut menurun kepada 8,484 kes bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini, berbanding 9,773 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

“Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada PDRM kerana berjaya mengekalkan momentum kecemerlangan dalam penurunan indeks jenayah negara serta membuktikan kredibiliti PDRM dalam menjaga keamanan negara amat tinggi.

“Sepanjang dua tahun ini, Keluarga Malaysia terpaksa melalui kehidupan yang amat mencabar dan memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak bagi mengurangkan beban akibat pandemik COVID-19,” katanya ketika berucap pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-215 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Advertisements

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tugas kepolisan menangani jenayah yang semakin kompleks susulan kemajuan teknologi dan pelbagai aplikasi media sosial yang disalah guna menuntut PDRM menanganinya secara tegas, strategik serta berkesan.

Katanya, kerajaan berpuas hati dengan tahap profesionalisme dan kesiapsiagaan yang ditunjukkan PDRM dalam memikul amanah termasuk dalam menangani ancaman militan.

“Saya menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia supaya bekerjasama dengan PDRM bagi mengurangkan jenayah dan membanteras tindakan anasir yang cuba menggugat kedaulatan negara serta ketenteraman awam,” katanya.

Ismail Sabri berkata, negara akan memasuki fasa peralihan ke endemik pada 1 April ini yang membolehkan Keluarga Malaysia kembali hidup dalam keadaan normal.

Kata beliau, walaupun banyak kelonggaran diberi seperti tiada lagi penjarakan fizikal, namun Keluarga Malaysia masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dan penjagaan kebersihan diri.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan