25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Jamin urusan pengeluaran khas KWSP bermula 1 April ini dipermudahkan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memberi jaminan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memastikan pengeluaran khas RM10,000 yang baharu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipermudahkan.

Zafrul memaklumkan perkabaran gembira berkenaan dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

“Saya baru habis berbincang dengan KWSP. Mereka akan memastikan agar pengeluaran khas KWSP ini dipermudahkan,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan kebenaran untuk pencarum melakukan pengeluaran khas sebanyak RM10,000 daripada simpanan KWSP.

Sejajar itu, KWSP mengumumkan permohonan pengeluaran khas RM10,000 akan dibuka mulai 1 April sehingga 30 April ini.

KWSP dalam satu kenyataan berkata, permohonan itu boleh dibuat ahli yang berusia 55 tahun ke bawah.

“Ahli dibenarkan untuk mengeluarkan jumlah maksimum sebanyak RM10,000 dan minimum RM50.

“Selain itu, ahli perlu mengeluarkan baki simpanan dalam Akaun 2 dahulu sebelum mengakses Akaun 1,” katanya.

KWSP turut memaklumkan tempoh pembayaran akan mula dilaksanakan bermula 20 April 2022.

Bahkan dalam kenyataan terdahulu, pengeluaran simpanan KWSP sebanyak RM10,000 yang diumumkan berkenaan adalah yang terakhir di bawah inisiatif pengeluaran khas.

Menurut kenyataan berkenaan, ini juga merupakan pengeluaran keempat bagi memenuhi keperluan kewangan kecemasan yang dihadapi oleh ahli.

“Setakat akhir 2021, sebanyak RM101 bilion telah dikeluarkan di bawah tiga pengeluaran selepas i-Lestari dan i-Sinar yang dilaksanakan pada tahun 2020 dan disusuli oleh i-Citra pada Julai 2021.

“Tatkala negara sedang membangunkan semula ekonomi dan lebih ramai rakyat kembali bekerja, KWSP berpendapat bahawa pengeluaran kali ini adalah yang terakhir di bawah inisiatif pengeluaran khas.

“KWSP ingin menekankan sekali lagi kebimbangannya mengenai kecukupan simpanan persaraan ahli dan berharap ini akan membawa ke arah pembinaan semula simpanan persaraan dan pembaharuan sistem keselamatan sosial negara,” katanya.

-EDISI9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan