25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

JAKIM tegas pendirian tak wajar tayang program melampaui batas agama

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menentang sekeras-kerasnya penyiaran program yang jelas mempamerkan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Islam.

Ketua Pengarahnya, Hakimah Mohd Yusoff berkata, program dengan aksi dan adegan tidak bermoral yang melampaui batas serta bertentangan dengan norma masyarakat dan hukum syarak adalah tidak wajar ditayangkan.

Menurutnya, drama seumpama itu tidak wajar disiarkan pada bila-bila masa apatah lagi di bulan Ramadhan.

“JAKIM telah menyatakan pendirian dan pandangan mengenai isu ini kepada pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) supaya tindakan tegas dapat diambil segera.

“JAKIM menggesa semua pihak samada stesen penyiaran, penerbit, penulis skrip dan para pelakon agar lebih cakna dan mengelakkan isu-isu seumpama ini kerana ia akan menyerap masuk ke dalam jiwa masyarakat khususnya golongan remaja dengan budaya dan norma yang bersalahan dengan ajaran Islam dan amalan murni masyarakat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Hakimah lagi, JAKIM tidak akan berkompromi dengan isu-isu seumpama itu dan akan sentiasa bersama dengan semua pihak berkuasa berkenaan bagi memantau dan mengambil tindakan sewajarnya agar ianya tidak berulang.

Terdahulu, teraju utama drama tersebut iaitu Zul Ariffin mencetuskan kekecohan dalam media sosial apabila memuat naik sedutan adegan panasnya bersama pelakon baru, Siti Hariesa.

Antara aksi yang dianggap keterlaluan ialah ketika Zul mendukung Hariesa dan babak menyuap whipping cream.

Advertisements

Rata-rata warganet memberi reaksi negatif dan membantah sekiranya babak tersebut ditayangkan kepada umum.

Dalam satu hantaran di Facebook rasmi Hakimah , beliau yang memulakan tugas di hari pertamanya itu menyedari tanggungjawab berat yang harus didepaninya dengan penuh insaf dan ketabahan.

“Saya yakin akan aturan Allah SWT dan menganggap ia sebagai ujian buat saya, semoga Allah sentiasa membimbing dan menuntun perjalanan ini.

“Saya mengambil ruang dan peluang ini untuk merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih khusus buat YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri, YB Senator Datuk Haji Idris Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Datuk Ustaz Marzuk Shaary, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Dato’ Sri Mohd Shafiq bin Abdullah, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan YBhg. Datuk Seri Jamil bin Rakon, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri atas kepercayaan dan perakuan pelantikan saya ke jawatan yang amat mencabar ini.

Menurutnya, beliau juga percaya pihak kerajaan juga telah merujuk dan memohon perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan Raja bagi maksud pelantikan jawatan Ketua Pengarah JAKIM. Menjunjung kasih Tuanku.

“Kerjasama erat antara JAKIM dengan pihak berkuasa agama negeri yang sudah sekian lama terjalin kukuh akan saya teruskan bagi memastikan pengurusan hal ehwal Islam yang mantap di negara ini.

“Dalam masa sama, peranan sebagai badan yang bertanggungjawab di peringkat persekutuan dalam memartabatkan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Sumpah Yang diPertuan Agong serta peranan-peranan melebarkan keindahan dan kesyumulan Islam di peringkat serantau dan antarabangsa akan dipergiatkan lagi.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan