25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Imigresen gempur universiti swasta ternama, tangkap 33 PATI

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu sebuah universiti swasta ternama di Semenyih, Selangor 7 Mac lalu dan menahan 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) pelbagai warganegara yang bekerja sebagai tukang cuci dan tukang kebun.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, mereka terdiri daripada 27 warga Indonesia, empat rakyat Pakistan serta masing-masing seorang warga Bangladesh dan Nepal.

Menurut beliau, tangkapan tersebut hasil pemantauan dan risikan di universiti berkeluasan 118 ekar dan terbahagi kepada 10 blok utama itu.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kesemua warga asing berkenaan bekerja dari pukul 7 pagi sehingga 4.30 petang di universiti antarabangsa itu.

“Operasi bermula pada pukul 11 pagi dengan kekuatan seramai 28 orang pegawai Imigresen dan telah memeriksa 40 orang warga asing dari pelbagai warganegara yang berumur lingkungan 22 hingga 67 tahun.

“Semasa serbuan dilakukan, warga asing yang bekerja sebagai tukang kebun cuba melarikan diri dengan memanjat bukit yang terletak di belakang bangunan asrama pelajar manakala tukang cuci cuba mengaburi mata pegawai penguatkuasa dengan membuka pakaian seragam mereka dan menggunakan pakaian biasa.

“Ada juga yang bersembunyi di dalam bilik kecil namun segala usaha warga asing ini berjaya dipatahkan dengan tindakan pantas anggota serbuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, hasil maklumat risikan yang diperolehi, pekerja warga asing ini telah bekerja di universiti berkenaan kira-kira dua tahun dan tidak pernah memiliki pas serta tiada dokumen pengenalan diri.

Menurutnya, syarikat yang menggajikan warga asing ini juga dikatakan tidak pernah memohon Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi pekerjanya.

“Sebanyak tujuh saman saksi dikenakan ke atas pengurus dan penyelia di syarikat tersebut bagi mengesan majikan sebenar.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

Menurutnya, kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

-EDISI9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan