27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Ambil langkah hentikan pembaziran makanan – Sultan Nazrin

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN negeri Perak hendaklah mengambil langkah-langkah bermakna menghentikan pembaziran makanan, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Jabatan kerajaan, titahnya, mesti menunjukkan contoh yang baik, bermula daripada menempah kuantiti makanan dalam majlis dan acara yang diadakan hingga kepada semasa berlangsungnya perjumpaan atau mesyuarat.

Titah baginda, setiap isi rumah, sekolah, maktab dan universiti, masjid dan rumah ibadat, serta operator makanan, restoran dan hotel wajib mengamalkan budaya tidak menyediakan makanan secara berlebihan yang hanya berakhir di dalam tong sampah.

“Di negara kita dilaporkan, setiap hari 17,000 tan sisa makanan yang boleh mengisi perut tiga juta rakyat dilupuskan.

“Empat ribu lapan puluh tan daripada jumlah tersebut merupakan makanan yang dibazirkan. Jumlah tersebut meningkat sepuluh peratus pada bulan Ramadan,”titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Tahun Kelima, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ke-14, hari ini, lapor Astro AWANI.

Advertisements

Menurut Sultan Nazrin, data di peringkat global menunjukkan, nilai makanan yang dibazirkan mencecah 2.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar dunia.

“Angka-angka tersebut membayangkan betapa seriusnya perbuatan pembaziran makanan yang sedang berlaku,”titah baginda.

Tambah baginda, manusia perlu dididik dengan nilai menghargai makanan dan disemai dengan budaya tidak membazirkan makanan.

Dalam pada itu, baginda menyeru supaya masjid, rumah ibadat, sekolah, badan sukarela, pertubuhan belia dan anggota masyarakat membantu usaha menyedarkan rakyat mengenai pentingnya pengambilan vaksinasi dos penggalak”Insaflah akan tugas berat yang sudah lebih dua tahun terpaksa dipikul oleh kakitangan kesihatan.

“Rakyat wajib menunjukkan simpati, melaksanakan tanggungjawab membantu meringankan beban tugas kakitangan Jabatan Kesihatan dengan mengambil langkah-langkah preventif agar penularan wabak diminimumkan,”titah baginda.

Sehingga 18 Mac lalu, menurut baginda, 66 peratus daripada penduduk dewasa di Perak yang layak, telah menerima dos penggalak.

Advertisements

Terkini

Sultan Nazrin berkenan letak batu asas IPTTI, URCC UPSI

SULTAN Perak, Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Majlis Perletakan Batu Asas bagi Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI)...

Lagi Artikel Berkaitan