SEORANG ibu muda juga dipercayai suspek pembunuhan seorang bayi yang baru dilahirkan ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.
Memetik laporan Astro Awani, perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman di Wad Bersalin Hospital Kemaman, Terengganu bermula hari ini hingga Selasa depan.
Penahanan suspek yang berusia 15 tahun itu bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, Tengku Eliana diiringi polis ke hospital dan tiba pada jam 12.40 tengah hari bagi membolehkan perintah reman dilaksanakan terhadap suspek.
Media sebelum ini melaporkan, seorang bayi lelaki yang baharu dilahirkan ditemui mati dengan kesan tikam di bahagian kiri dada di sebuah rumah di daerah Kemaman.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 hingga 9 pagi itu bayi tersebut dikatakan ditikam dengan objek tajam oleh seorang remaja perempuan dipercayai ibunya.
Suspek berusia 15 tahun dipercayai meminta pertolongan rakannya untuk menghubungi petugas kesihatan bagi memaklumkan tentang kelahiran bayi berkenaan.