KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) membenarkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diteruskan walaupun kes Covid-19 kini meningkat kepada lima angka berikutan penyebaran varian Omicron.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, varian Omicron juga sehingga kini tidak menunjukkan kesan yang terus terhadap pesakit berbanding varian Delta.
Beliau berkata, pada masa kini pihaknya telah memuktamadkan syor prosedur operasi standard (SOP) dan perkara itu akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan seterusnya kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Pendirian KKM adalah, memandangkan Omicron setakat ini tidak menunjukkan kesan dan data yang teruk seperti Delta, maka PRN boleh diteruskan tetapi dengan SOP yang akan diumumkan kelak, yang dimuktamadkan drafnya, pagi tadi,” katanya dalam sidang media hari ini.
Khairy berkata, KKM ketika ini memantau peningkatan kes di Johor dan Sabah.
Berikutan PRN di Johor, pemantauan teliti dilaksanakan kementerian itu di negeri itu dan beliau sendiri akan ke Johor tidak lama lagi untuk melihat persediaan kesihatan.
PRN Johor dijangka diadakan tidak lama lagi selepas Dewan Negeri Johor (DUN) negeri itu dibubarkan pada 22 Januari lalu.
Ia bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu berikutan kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi pembangkang. – Edisi 9