26 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Panglima ATM terima anugerah ketenteraan tertinggi Singapura

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PANGLIMA Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Affendi Buang dikurniakan anugerah ketenteraan tertinggi Singapura, Darjah Utama Bakti Cemerlang (Tentera) oleh Presiden Halimah Yacob di Istana Singapura hari ini.

Kementerian Pertahanan Singapura berkata, pengurniaan pingat itu sebagai menghargai sumbangan besar Affendi dalam meningkatkan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

Katanya, di bawah kepimpinan Affendi, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan ATM terus mengukuhkan hubungan pertahanan yang sekian lama terjalin melalui latihan dua hala seperti Latihan Malapura, Latihan Semangat Bersatu dan Latihan Sarex Malsing serta pertukaran profesional dan kursus latihan silang.

“Interaksi itu membolehkan kedua-dua angkatan tentera menjalin hubungan dan kepercayaan yang lebih erat,” kata kementerian itu menerusi Facebook hari ini.

Upacara pengurniaan itu turut dihadiri Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen, Menteri Negara Kanan Pertahanan, Heng Chee How dan Zaqy Mohamad serta Setiausaha Tetap (Pertahanan) Chan Heng Kee.

Turut serta Panglima Angkatan Pertahanan Singapura, Leftenan Jeneral Melvyn Ong serta pegawai kanan kerajaan dan pegawai tentera dari Singapura serta Malaysia.

Advertisements

Kenyataan itu berkata, komitmen padu Affendi terhadap kerjasama pertahanan serantau juga menyaksikan SAF dan ATM bekerjasama rapat dalam platform seperti Rondaan Selat Melaka, Perjanjian Pertahanan Lima Kuasa dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM)/ADMM-Plus untuk meningkatkan keselamatan dan kestabilan serantau.

Affendi yang berada di Singapura dari 15 hingga 17 Februari turut mengadakan kunjung hormat ke atas Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.

Terdahulu, Affendi memeriksa kawalan kehormat dan mengadakan pertemuan dengan Eng Hen dan Melvyn di Kementerian Pertahanan.

“Pada pertemuan itu, kedua-dua pihak menegaskan semula hubungan pertahanan dua hala yang mesra dan telah lama terjalin serta membincangkan respons kedua-dua negara terhadap cabaran keselamatan serantau,” kata kenyataan itu.

Affendi turut melawat Pertunjukan Udara Singapura 2022 di Pusat Pameran Changi semalam.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Pemuda UMNO gesa ‘haramkan’ Prof Gilley masuk Malaysia

PEMUDA UMNO Malaysia hari ini mendesak kerajaan mengharamkan seorang ahli akademik pro-zionis Israel, Bruce Gilley daripada memasuki negara ini. Ketuanya,...

Lagi Artikel Berkaitan