25.5 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Kisah Rayan mendapat perhatian dunia kerana ‘kuasa viral’

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

TIBA-TIBA nama Rayan Oram menjadi sebutan seluruh dunia. Hampir sepanjang lima hari lalu, kisah seorang budak berusia 5 tahun dari sebuah kampung terpencil di Maghribi menjadi tumpuan.

Hari ini, selepas lima hari sejak budak lelaki itu jatuh ke dalam sebuah lubang sedalam 32 meter berhampiran rumahnya, dia berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat yang berusaha siang dan malam untuk mengeluarkannya.

Malangnya, ketika ditemui Rayan dilapor sudah tidak bernyawa sehingga mengundang simpati dan ratapan masyarakat dunia termasuk kalangan rakyat di negara ini.

Siapakah adik Rayan ini sehingga kisahnya mendapat liputan meluas media seluruh dunia dan jutaan penghuni dunia merapati pemergiannya?

Rayan bukanlah sesiapa. Dia bukanlah anak pemimpin dunia atau selebriti terkenal.

Rayan hanya budak lelaki berusia 5 tahun yang ceria, bermain bersama kawan-kawannya berhampiran kediamannya di kampung Ighrane yang terpencil di wilayah Chefchaouen, Maghribi.

Jika tidak ada liputan secara langsung kerja-kerja menyelamatkannya dari lubang atau perigi buta itu, tiada siapa pun sedar tentang kejadian tersebut, apatah lagi ia berlaku nun jauh di kawasan terpencil di sebuah negara di utara Afrika.

Sebuah kamera kecil digunakan untuk memantau keadaan Rayan di dalam perigi buta.

Itulah kuasa media sosial, kuasa tular yang boleh mengundang perhatian dunia. Naman Rayan atau tanda pagar #PrayForRayan dan #SaveRayan menjadi ikutan (trending) di seluruh dunia.

Difahamkan jutaan warganet mengikuti siaran langsung menerusi pelbaga saluran media sosial dan media arus perdana tentang proses mengeluarkan Rayan daripada perigi buta tersebut.

Advertisements

Tidak kurang juga yang melontarkan pelbagai cadangan untuk mempercepatkan proses menyelamatkannya yang dianggap antara paling sukar dilakukan.

Kisah Rayan mengingatkan penulis dengan kisah 12 pemain bola sepak remaja bersama seorang jurulatih yang terperangkap dalam sebuah gua di utara Thailand pada 2018 lalu.

Mereka memasuki gua Tham Luang Nang Non di Chiang Rai, sebelum hujan lebat menyebabkan gua tersebut dipenuhi air dan mereka tidak dapat keluar.

Pasukan pencari dan penyelamat mengambil masa selama sembilan hari untuk mengeluarkan mereka, dan mengorbankan seorang anggota penyelamat.

Proses menyelamatkan Rayan Oram.

Proses mencari dan menyelamat kumpulan remaja terbabit turut mendapat liputan dan perhatian dunia.

Mereka semuanya ditemui dalam keadaan selamat selepas pelbagai usaha dilakukan, termasuk mendapat bantuan pasukan penyelamat dari beberapa negara lain.

Hari ini kejadian hampir serupa berulang tetapi malangnya nasib Rayan tidak sebaik remaja-remaja di Thailand tersebut.

Rayan disahkan meninggal dunia sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi dia terperangkap.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas Allahyarham Rayan Oram. Al-fatihah!

Advertisements

Terkini

MasChain perkenal ekosistem teknologi ‘blockchain’ di Malaysia

SYARIKAT pakar teknologi blockchain, Masverse Sdn. Bhd. melancarkan MasChain, platform transformatif yang direka untuk merevolusikan ekosistem digital bagi kerajaan,...

Lagi Artikel Berkaitan