26.1 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 17, 2024

Warga emas, penerima Sinovac perlu ambil dos penggalak

Gagal berbuat demikian akan menyebabkan status pad MySejahtera dianggap tidak lengkap vaksinasi mulai 1 Mac

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KESEMUA individu berusia 60 tahun ke atas serta penerima dos lengkap jenis vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas diminta mengambil suntikan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap sebelum 1 Mac ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, jika gagal berbuat demikian, status individu berkenaan akan dianggap tidak lengkap vaksinasi dan maklumat itu akan tertera di dalam aplikasi MySejahtera.

Menurut beliau, ia membabitkan semua penerima vaksin warga emas tanpa mengira jenis vaksin pertama dan kedua serta penerima vaksin Sinovac dewasa.

“Sekiranya tidak, sijil digital itu akan tukar warna kepada putih, maksudnya status vaksinasi penuh tidak lagi diberikan dan sekatan akan dibuat di pintu masuk tertentu.

“Saya setuju dengan Ketua Pengarah Kesihatan bahawa ada keengganan penerima Sinovac contohnya untuk terima dos penggalak Pfizer.

“Saya nak umumkan ada 3.5 juta penerima vaksin primer Sinovac belum terima dos penggalak lagi. (Jumlah) ramai ini dan mereka terdedah kepada gelombang Omicron sebab keberkesanan Sinovac tidaklah setinggi Pfizer, walaupun berkesan, tidaklah sebaik dan efektif Pfizer.

“Sebab itu saya sudah buat keputusan bahawa, kita lebih menggalakkan mereka menerima Pfizer dan Astra Zeneca, tetapi apa juga penggalak lebih baik daripada tidak ada langsung.

“Sebab itu kita akan berikan temujanji untuk mereka pilih sekiranya mereka mahukan Sinovac bagi dos penggalak mereka,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau turut mengumumkan bagi memastikan tahap kesiapsiagaan yang tinggi dalam menghadapi gelombang terbaharu ini, KKM juga mengaktifkan semula National Covid-19 Rapid Response Task Force (RRTF).

Khairy berkata, ia adalah jawatankuasa khas yang akan melaksanakan tindakan awalan pantas dalam mengawal penularan di sesebuah negeri atau kawasan antaranya menambah katil dan mengubah suai katil bukan COVID-19, membina hospital medan dan menyumberluaran pesakit ke hospital swasta.

“RRTF ini akan dipengerusikan secara bersama oleh Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Kheong dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Asmayani Khalib yang akan membuat pelaporan terus kepada saya,” katanya.

-EDISI9

Terkini

26 warga asing ‘kosong’ ditahan di sekitar Johor Bahru

SEBANYAK 26 warga asing ditahan dalam operasi di sekitar Johor Bahru kerana dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dan...

Lagi Artikel Berkaitan