33.4 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

RFID: PM minta konsesi tol benarkan pengguna buat pilihan

Mesti Baca

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa konsesi memberikan pilihan kepada pengguna untuk membuat pembayaran tol ketika pelaksanaan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) diperkenalkan.

Menurut Perdana Menteri, pengguna jalan raya perlu diberi pilihan untuk membuat bayaran sepertimana pada awal pelaksanaan pembayaran menggunakan kad Touch N’Go (TNG), yang mana transaksi tunai masih dibenarkan.

“Sekarang ini kita nak perkenalkan RFID supaya mempercepatkan laluan. Tidak ada gate (lorong) dan sebagainya, cuma cadangan itu bagus tetapi dari segi dari pengguna, mereka mesti diberikan pilihan samada nak gunakan RFID, TNG atau SmartTag,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia di Putrajaya malam ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak mahu ada tekanan kepada pengguna jalan raya untuk menukar sistem transaksi sedia ada termasuk menukarkan semua lorong bayaran tol menggunakan sistem RFID.

“Sebagai contoh, dari segi lorong tol, jangan semuanya RFID. Kita beri pilihan, kalau ada 10 lorong mungkin beberapa lorong untuk RFID dan yang lain masih lagi untuk TNG dan SmartTag,” kata beliau.

Ismail Sabri berkata, sekiranya pengguna merasakan RFID memudahkan perjalanan mereka, sudah tentu mereka akan bertukar kepada penggunaan RFID.

Sementara itu, beliau berkata, Kabinet telah mengarahkan Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk memanggil semua pemegang konsesi tol bagi membincangkan perkara tersebut.

“Kita buat keputusan, kalau ada yang melibatkan bayaran kepada rakyat dan sebagainya, (pemegang konsesi) perlu merujuk kepada Kabinet terlebih dahulu,” katanya.

Bulan lalu, KKR mengumumkan penggunaan kad (TnG) dan SmartTAG di semua plaza tol akan dimansuhkan secara berperingkat-peringkat mulai 15 Januari.

KKR berkata, sistem kutipan tol menggunakan teknologi RFID akan digunakan sepenuhnya bagi menggantikan kedua-dua sistem tersebut.

Menurut kenyataan kementerian itu, buat permulaan sistem RFID akan digunakan untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) laluan Juru, Pulau Pinang dan Skudai, Johor

“Kutipan tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih diteruskan buat ketika ini, namun kedua-duanya akan dihentikan secara berperingkat untuk memberi ruang kepada pembukaan lebih banyak lorong RFID,” kata KKR.

Bagaimanapun, pelaksanaan teknologi RFID pada 15 Januari lalu menimbulkan kemarahan pengguna jalan raya berikutan beberapa masalah yang timbul sehingga berlaku kesesakan trafik di plaza-plaza tol. – Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan