31 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

PM umum harga siling ayam RM8.90 mulai 5 Februari

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

HARGA maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan 20 sen daripada harga siling yang ditetapkan iaitu RM9.10 sekarang kepada RM8.90 mulai 5 Februari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengenai Industri Pengeluaran Makanan untuk membincangkan isu bekalan dan pengeluaran makanan terutamanya bagi ayam dan telur ayam.

Menurutnya, harga telur ayam bagi semua gred pula kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa.

“Pelaksanaan kedua-dua harga ini bermula 5 Februari ini sehingga 5 Jun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Perdana Menteri menegaskan, tindakan proaktif perlu dilaksanakan oleh Kerajaan untuk memastikan harga kekal berpatutan, namun dalam masa sama industri penternakan ayam tidak terjejas dan sekali gus dapat memastikan bekalan kekal stabil.

“Sebanyak empat kertas telah dibentangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Pertanian dan Asas Tani serta Kementerian Pengangkutan dalam mesyuarat ini.

Menurut beliau, selain harga siling ayam standart dan telur,
Kerajaan akan memberikan subsidi bagi memastikan harga barangan dapat dikawal seperti SHMKM.

“Perincian subsidi ini akan dilakukan oleh Pasukan Khas Mengenai Kos Sara Hidup Negara yang akan diketuai oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta beberapa kementerian, wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan persatuan pengguna sehingga harga kembali stabil.

“Permit import ayam bulat dibuka kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport ayam, berbanding sebelum ini mereka hanya dibenarkan mengimport keratan ayam seperti kepak, paha dan lain-lain,” katanya.

Ismail Sabri berkata, mesyuarat juga bersetuju AP mengimport ayam dibuka kepada pengusaha pasar raya besar (hypermarket).

“Mesyuarat mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) membuat siasatan sekiranya wujud kartel dalam pakatan menentukan harga ayam dan telur.

Selain itu, menurut beliau lagi, pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang melibatkan 222 Parlimen perlu dilaksanakan secara maksimum dengan kerjasama bersepadu melibatkan Kementerian-kementerian terbabit bagi membantu Keluarga Malaysia mendapatkan barangan asas pada harga lebih murah.

“Pelaksanaan Kedai Harga Patut perlu diaktifkan semula di seluruh negara serta menambah kekerapan operasi pasar tani di satu-satu kawasan.

“Mesyuarat turut meminta Kementerian Kewangan mengkaji insentif cukai untuk transformasi ladang ternakan ayam.

Selain itu, menurut beliau, permohonan pengambilan pekerja asing daripada Bangladesh telah dibuka secara berperingkat mulai 28 Januari lalu.

“Malah, koperasi yang terlibat dalam industri pertanian akan turut dilibatkan untuk menawarkan barangan asas tanpa melibatkan orang tengah untuk mengawal harga.

Selain memfokoskan kepada penyelesaian jangka pendek untuk mengurangkan tekanan kenaikan harga, mesyuarat NACCOL juga membincangkan langkah-langkah jangka panjang.

“Antaranya ialah menyokong penyelidikan yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menjadikan isi rong kelapa sawit bagi menggantikan jagung dan soya sebagai makanan ayam.

“Mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk memanjangkan tempoh penggunaan tanah di bawah lesen pendudukan sementara (TOL) bagi
aktiviti pertanian dan jaminan bekalan makanan bukan hanya mencukupi tetapi kemampuan Keluarga Malaysia untuk membeli.

Menurut beliau, pelan tindakan jangka panjang ini akan dibincangkan dengan lebih terperinci dalam mesyuarat NACCOL akan datang.

-EDISI9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan