PENGANJUR pertandingan tarian singa sempena Tahun Baru Cina di sebuah pusat beli-belah di Puchong, dikenakan kompaun RM1,000 ekoran melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.
Ini susulan tular sebuah video di laman Facebook semalam, memaparkan orang ramai berkumpul menyaksikan pertandingan itu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A Anbalagan berkata, dalam video itu memaparkan orang ramai berkumpul menyaksikan pertandingan tersebut dalam keadaan tiada penjarakan fizikal.
“Berikutan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Puchong telah ke lokasi berkenaan pukul 7.30 malam (semalam) untuk membuat pemeriksaan.
“Hasil daripada siasatan, ramai pengunjung berkumpul tanpa penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, daripada semakan lanjut mendapati pihak penganjur mempunyai surat kelulusan permit sementara dari pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menganjurkan pertandingan berkenaan.
“Bagaimanapun kita tetap mengeluarkan kompaun RM1,000 kepada penganjur atas kesalahan melanggar SOP.
“Tindakan dilakukan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Pengawasan Tempatan Jangkitan) 2021,”katanya.-Edisi 9