SEBANYAK 113 sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang terjejas akibat banjir akan mula dibuka setelah mereka bersedia untuk beroperasi.
KPM dalam satu kenyataan berkata, daripada jumlah itu sebanyak 18 buah sekolah melibatkan 16 sekolah rendah dan dua sekolah menengah masih dinaiki air.
Manakala 87 sekolah dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sementara lapan lagi telah terkesan akibat banjir dan belum bersedia untuk beroperasi.
“Berdasarkan kenyataan media KPM bertarikh 24 Disember, tarikh permulaan sesi persekolahan bagi Penggal 3, 2021/2022 adalah pada 9 Januari bagi negeri Kumpulan A dan 10 Januari bagi negeri Kumpulan B.
“Namun demikian, bagi institusi pendidikan bawah KPM yang terkesan akibat banjir, pengoperasian hanya akan bermula setelah institusi pendidikan terlibat sedia untuk beroperasi,” kata kenyataan itu.
Menurut KPM, pihaknya akan terus memantau dan mengemas kini pada setiap Rabu senarai institusi pendidikan yang dilanda banjir atau yang dijadikan sebagai PPS.
“Perubahan senarai yang dikeluarkan oleh KPM adalah tertakluk kepada situasi semasa bencana banjir.
“Justeru, mungkin terdapat pertambahan atau pengurangan bilangan institusi pada setiap minggu,” katanya.
Katanya, senarai tersebut boleh diakses melalui laman sesawang KPM https://www.moe.gov.my.
Bagi sekolah-sekolah yang telah selesai dibersihkan dan bersedia untuk kembali beroperasi, pengoperasian institusi pendidikan itu akan bermula pada Ahad atau Isnin minggu persekolahan berikutnya.
Untuk rekod, institusi pendidikan bawah KPM adalah merujuk kepada sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru.
la juga terpakai kepada sekolah swasta yang berdaftar bawah KPM.
-EDISI9