32.2 C
Kuala Lumpur
Thursday, January 20, 2022

Dua syarikat pengeluar gula diarah keluarkan stok penimbal

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

DUA syarikat pengeluar gula tempatan diarah melaksanakan stok penimbal berjumlah 53,000 metrik tan bagi mengelak berlakunya masalah bekalan gula pasir putih di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kedua-dua syarikat terbabit iaitu Central Sugar Refinery Sdn. Bhd. (CSR) dan MSM Malaysia Holdings Bhd. (MSM) diarah melaksanakannya bermula 1 Januari lalu

Beliau berkata, keputusan itu dibuat setelah beberapa kali negara mengalami isu perbekalan gula ekoran pelbagai faktor seperti penutupan kilang, jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja kilang dan kerosakan pada mesin boiler.

“Selaras dengan Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, kedua-dua syarikat telah diarahkan untuk melaksanakan stok penimbal berjumlah 53,000 Metrik Tan (MT) bagi gula putih bertapis pada setiap masa dan hanya digunakan apabila berlaku kekurangan bekalan di sesuatu kawasan selaras dengan Arahan Pengawal Bekalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan stok penimbal itu dijangka dapat mengelakkan gangguan terhadap bekalan gula berlaku di masa akan datang.

Ini sekali gus, katanya, dapat mengelak pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menaikkan harga atau menyimpan stok gula ketika berlaku krisis gangguan gula.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, penggunaan gula domestik dianggarkan sebanyak 0.65 kilogram (kg) sebulan perkapita dan menjadikan jumlah tahunan yang diperlukan dianggarkan sebanyak 255,450 metrik tan setahun bagi keperluan 32.75 juta rakyat Malaysia.

Baca juga:   Harga kit ujian kendiri COVID-19 turun di bawah RM10

“Bagi pengeluaran kedua-dua syarikat pengilang gula adalah sebanyak 1.5 juta metrik tan setahun mencukupi untuk kegunaan rakyat Malaysia dan kegunaan industri di Malaysia,” katanya.

Nanta Linggi berkata, pihaknya juga mengadakan perbincangan dengan kedua-dua syarikat pengeluar utama gula itu bagi penyelesaian bagi memastikan bekalan gula dalam pasaran domestik sentiasa mencukupi.

Baca juga:   Mahkamah perintah bekas Exco bela diri 37 pertuduhan rasuah

Beliau berkata, pihaknya juga telah merangka tiga mekanisme bagi mengelakkan masalah itu berlaku, iaitu kuantiti gula pasir putih bertapis perlu disimpan secara stok terapung pada kadar yang ditetapkan selama 11 hingga 15 hari.

“Kedua, pemantauan berterusan akan dilakukan berdasarkan pelaporan yang dikemukakan pengilang bagi memastikan kuantiti stok simpanan sentiasa berada pada kadar yang ditetapkan.

“Mekanisme ketiga iaitu kegagalan mematuhi arahan boleh menyebabkan tindakan dikenakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Nanta Linggi berkata, di bawah akta tersebut kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali pertama atau denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya. – Edisi 9

Terkini

Nadma bakal ditubuhkan di negeri dan daerah

MAJLIS Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berkemungkinan ditubuhkan di peringkat negeri dan daerah dalam usaha memastikan aspek pengurusan bencana di...

Lagi Artikel Berkaitan