26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Dos penggalak boleh ‘walk-in’ di semua PPV mulai esok

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

INDIVIDU berusia 18 tahun ke atas boleh mendapatkan perkhidmatan vaksinasi dos penggalak secara datang terus (walk-in) di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara bermula esok.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, bagi PPV Pengamal Perubatan Swasta, individu dimohon untuk menghubungi klinik swasta yang terlibat bagi menentukan masa sesuai untuk mendapatkan vaksinasi dos penggalak.

Menurut beliau, langkah berkenaan bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi pada setiap masa, mengambil kira ruang yang terhad di klinik swasta.

“Senarai PPV GP dan PPV Offsite boleh disemak di laman web ProtectHealth iaitu www.protecthealth.com.my. Senarai tersebut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khairy berkata, jenis vaksin yang diberikan terhad kepada bekalan di setiap PPV, manakala individu yang ingin hadir secara walk-in dimohon agar mempunyai sijil vaksinasi digital lengkap di dalam MySejahtera bagi melancarkan proses vaksinasi.

“Untuk individu yang tidak mempunyai sijil vaksinasi digital kerana tidak mempunyai telefon pintar, sila bawa bersama kad vaksinasi fizikal ke PPV,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, Kementerian Kesihatan menjangkakan mobiliti penduduk di dalam negara akan meningkat dan lebih banyak aktiviti sosial atau perkumpulan keluarga memandangkan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

“Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan amat menggalakkan semua penduduk di Malaysia yang layak untuk mendapatkan dos penggalak dengan segera bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti, terutamanya warga emas, individu dengan komorbiditi, ibu mengandung, anak-anak kecil dan mereka yang tidak layak divaksinasi kerana masalah kesihatan,” katanya.

Menurutnya, sehingga semalam seramai 11,531,403 atau 49.3 peratus penduduk Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas menerima dos penggalak vaksin Covid-19.

Tambah beliau, Kementerian Kesihatan akan mempertingkatkan lagi kapasiti dan kadar pemberian dos penggalak bagi memastikan lebih ramai penduduk di Malaysia mendapat perlindungan imuniti yang optimum berikutan trend peningkatan kes dan kluster Covid-19 sejak kebelakangan ini.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan