Oleh DR ABDUL RASHID ABDUL AZIZ
BELUM pun reda serangan virus pembunuh COVID-19 yang melanda, negara sekali lagi dikejutkan dengan kejadian bencana banjir yang disifatkan sebagai antara yang terburuk pada abad ini.
Bencana ini telah meragut banyak nyawa dan turut memusnahkan harta benda, haiwan ternakan dan alam sekitar.
Ia juga turut mengundang kepada pelbagai pelbagai penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, taun, demam kepialu (tifoid), disenteri dan Hepatitis A.
Tambahan dari itu, tanpa kita sedar bencana banjir yang melanda ini telah memberikan kesan buruk terhadap kesihatan emosi dan psikologi mangsanya tidak kira sama ada golongan dewasa mahupun kanak-kanak.
Sehingga 27 Disember lalu, seramai 48 orang telah menjadi mangsa korban banjir di seluruh negara, manakala lima lagi masih hilang.
Kadangkala, kita bergembira dan ada kalanya kita diuji. Kadangkala kita menyangkakan bahawa kehidupan kita akan tenang dan bahagia hingga ke akhirnya.
Namun, di pertengahannya kita diuji dengan pelbagai ujian seperti pandemik COVID-19 dan bencana banjir yang melanda baru-baru ini.
Kehilangan orang yang tersayang, harta benda, pekerjaan merupakan antara detik getir dan pahit yang herus ditelan oleh kebanyakan dari kita.
Sebagai seorang muslim, harus kita ingat bahawa ujian ini tidak semestinya pahit malah kesenangan dan kegembiraan juga merupakan satu ujian buat diri kita yang bergelar hamba Allah.
Kehidupan yang kita lalui ini pastinya ada pasang surut. Ada kalanya kita berada di atas dan ada kala kita berada di bawah.
Namun, ingatlah bahawa setiap daripada kita akan diuji dengan pelbagai ujian yang berbeza-beza, tanda kasih saying daripada yang Maha Penyayang dan Maha Mengasihani.
Ujian yang telah Allah datangkan boleh muncul dalam beberapa keadaan dan bentuk sama ada ujian itu merupakan pengangkat darjat bagi orang yang beramal soleh dan beriman.
Malah, ia juga boleh hadir dalam bentuk musibah sebagai salah satu cara pengampunan dosa dan penyujian jiwa.
Selain itu, ujian juga boleh datang dalam bentuk bala sebagai memberi balasan atas kemungkaran dan kejahatan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia.
Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 214 yang bermaksud;
“Adakah patut kamu menyangka yang kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai ujian kepada kamu dan juga cubaan seperti yang telah berlaku kepada kaum-kaum terdahulu sebelum kamu. Mereka telah ditimpa dengan kepapaan, kemiskinan, serangan penyakit dan ancaman musuh”.
Malah, Allah telah mengakhiri ayat ini dengan berfirman;
“Ketahuilah, sesunggguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. Asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah.”
Sesungguhnya, dunia ini merupakan gelanggang ujian buat kita semua. Pastinya, sebagai hamba kita akan diuji dengan pelbagai dugaan dan masalah.
Untuk menjadi umat Islam yang cemerlang, kita haruslah mendidik diri dengan sifat reda ketika berhadapan dengan ujian.
Reda bagi sesetengah individu mungkin senang untuk dituturkan di bibir, tapi belum tentu mudah untuk dilaksanakan dan benar-benar melekat di jiwa.
Justeru, berusahalah untuk mewujudkan sifat reda dalam diri. reda bermaksud bersedia menerima sesuatu dengan ikhlas atau dengan kerelaan hati.
Manakala takdir pula adalah apa jua yang sudah terlebih dahulu ditentukan oleh Allah buat hamba-Nya. Ia merupakan lambang ketaatan dan kecintaan hamba kepada Penciptanya.
Malahan, reda juga merupakan darjat yang tertinggi dalam kalangan orang-orang muqarrabin (golongan yang mendekatkan diri dengan Allah).
Manusia yang mempunyai sifat reda adalah manusia yang sentiasa bersyukur dengan setiap nikmat serta pemberian yang telah dikurniakan oleh Allah SWT.
Di samping itu, individu ini mendapat ketenangan serta kemudahan dalam menyelesaikan setiap urusan dalam hidupnya.
Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Ma’idah, ayat 119 yang bermaksud;
“Inilah hari (kiamat) yang (padanya) orang-orang yang benar (pada tutur kata dan amal perbuatan) mendapat manfaat dari kebenaran mereka; mereka beroleh Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia. Itulah kejayaan yang amat besar.”
Dalam berhadapan dengan musibah,amat mustahil bagi seorang hamba untuk tidak berasa sedih dengan ujian yang menimpa sementelah ujian-ujian yang dilalui amatlah perit seperti kehilangan orang tersayang, harta dan pekerjaan serta kesakitan dek wabak penyakit.
Namun begitu, ia bukanlah alasan dan penghalang untuk kita terus bangkit. Yakinlah dengan kekuasaan Allah yang pastinya sedang menyiapkan sesuatu buat hambaNya disebalik kesusahan yang berlaku.
Teruslah melangkah dan jangan berhenti mengambil hikmah serta mendidik jiwa dengan sifat reda.
Hakikatnya, kita perlu sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang telah diperolehi pada hari ini. Nikmat kesihatan, nikmat makan, nikmat hidup berkeluarga, nikmat bekerja dan apa jua nikmat yang Allah telah kurniakan kepada kita.
Bersama-samalah kita mencari Mardhatillah (keredaan Allah) dengan menambah amal ibadah kepada-Nya. Jauhilah perkara-perkara mungkar yang boleh mengundang kemurkaan Allah dan melakukan segala suruhanNya.
Kita seharusnya sentiasa bermuhasabah diri, melihat kekurangan dan kelompongan yang wujud serta memperbaikinya.
Selain itu, sentiasalah berfikiran positif dengan mengungkapkan kata-kata positif yang dapat memberikan motivasi pada diri untuk berubah kea rah yang lebih baik.
Semoga ujian yang datang ini, dapat kita menerimanya dengan hati terbuka dan bersabar serta tabah sehingga kita mendapat sinar di penghujungnya. – Edisi 9
- Penulis adalah Pensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.