31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Jemaah umrah dijangkiti Omicron petugas PSH

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JEMAAH umrah dari Melaka yang didapati positif COVID-19 varian Omicron merupakan petugas Putra Specialist Hospital (PSH), kata kenyataan hospital tersebut hari ini.

Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn Bhd (PSHMSB) dalam kenyataannya berkata, petugas tersebut tidak melaporkan diri untuk bekerja sejak pulang dari umrah dan tidak mempunyai kontak rapat dengan pesakit atau petugas hospital itu.

Katanya, petugas berkenaan kini diletakkan di bawah perintah kuarantin selaras dengan garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Berdasarkan laporan, petugas berkenaan sebelum ini telah mengerjakan umrah, dan diuji positif semasa di lapangan terbang.

“Keputusan ujian genom mengesahkan bahawa ia adalah varian Omicron, yang dijangkiti pada 25 Disember.

“Petugas itu tidak melapor diri untuk bekerja sejak kembali dari umrah dan tiada kontak dengan pesakit atau petugas PSH,” kata hospital milik kerajaan negeri itu.

Kenyataan itu berkata, PSH telah mengambil semua langkah berjaga-jaga yang perlu demi keselamatan pesakit, pelawat, doktor dan petugas.

“PSHMSB akan terus bekerjasama dengan KKM bagi langkah selanjutnya yang mungkin diperlukan.

Advertisements

“Bagi operasi di hospital pula, ia kekal seperti biasa, dan pesakit akan terus dengan pelan penjagaan sedia ada di hospital dengan mematuhi semua langkah-langkah keselamatan,” katanya.

Sabtu lalu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengesahkan 49 kes baharu varian Omicron dikesan di negara ini, termasuk 30 warganegara Malaysia yang baharu tiba dari Arab Saudi pada 13 hingga 17 Disember lalu.

Ini menjadikan keseluruhan kes varian Omicron yang dikesan di Malaysia adalah sebanyak 62 kes yang mana 61 daripadanya adalah kes import sementara satu kes dipercayaai jangkitan tempatan.

Semalam, Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah mengesan kes positif varian di negeri itu membabitkan individu yang pulang dari menunaikan umrah.

Beliau berkata, wanita berusia 34 tahun itu berada di Arab Saudi bersama suaminya serta ahli keluarga pada 4 Disember hingga 15 Disember lalu.

Menurutnya, pasangan suami isteri itu menjalani ujian saringan PCR Covid-19 ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum pulang ke Melaka menaiki van pesiaran yang disediakan ejen umrah.

“Pada 18 Disember lalu, keputusan ujian saringan PCR diperoleh dan individu itu disahkan positif Covid-19 lalu dirujuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Bukit Serindit.

“Bagaimanapun pada Sabtu (semalam) kes disahkan positif Covid-19 varian Omicron dan individu itu telah dimasukkan ke wad isolasi Hospital Melaka untuk tujuan pemantauan rapi,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Sock Tao mampu tarik sokongan pengundi muda

PEMILIHAN Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao sebagai calon Kerajaan Perpaduan...

Lagi Artikel Berkaitan