27.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Perbezaan pegangan politik punca perpecahan – PM

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERBEZAAN pegangan politik antara punca berlakunya perpecahan dalam kalangan masyarakat di negara ini, sedangkan politik sewajarnya menjadi wadah kepada penyatuan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, keadaan itu berlaku kerana wujud kepentingan peribadi dan pegangan politik yang akhirnya menerbitkan bibit-bibit permusuhan dan membawa kepada perpecahan dalam kalangan keluarga Malaysia.

“Perkara ini merupakan suatu cabaran besar yang perlu dihadapi bukan sahaja para pemimpin tetapi juga Keluarga Malaysia bagi memastikan kestabilan negara terus terjamin.

“Sekiranya negara berada dalam keadaan tidak stabil, maka akan muncul pihak-pihak luar mahupun dalaman yang akan mengambil kesempatan dengan niat untuk terus menggugat perpaduan yang telah sedia terjalin selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Perpaduan Negara 2021 yang diadakan secara maya hari ini.

Perdana Menteri berkata, lantaran itu sewaktu beliau mengambil alih pentadbiran, kerajaan mengambil langkah menandatangani Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada 13 September lalu.

Beliau berkata, ini bagi membolehkan semua pihak dalam Keluarga Malaysia tanpa mengira fahaman politik, bersatu padu untuk bersama-sama berganding bahu menghadapi krisis berkembar kesihatan dan ekonomi.

“Saya difahamkan Kongres Perpaduan Negara yang dijalankan secara webinar selama dua hari ini disertai lebih 1,000 peserta yang terdiri daripada para ilmuan, tokoh masyarakat, agamawan dan siswa daripada dalam serta luar negara termasuk dari Mesir.

“Menerusi kongres seperti ini, kerajaan berharap ia mampu menjadi satu platfom terbaik bagi percambahan ilmu serta pemikiran yang merentasi agama, akademik dan kepakaran bagi menilai semula aspek perpaduan di negara ini.

“Ia bagi mencari satu mekanisme terbaik bagi menangani isu- isu perkauman dan perpaduan, sesuai dengan situasi semasa dan cabaran yang dihadapi kini,” katanya.

Menurut beliau, gabungan dan jalinan yang erat antara ilmuan dengan pemimpin politik sangat diperlukan dalam merangka formula terbaik bagi membolehkan suasana harmoni yang dikecapi sebelum ini terus dapat dipertahankan hingga ke generasi akan datang.

“Pada masa yang sama, setiap Keluarga Malaysia juga perlu sentiasa hormat menghormati dan mengawal diri daripada membangkitkan persoalan-persoalan sensitif terhadap sesuatu kaum.

“Elakkan punca yang boleh meruntuhkan perpaduan seperti fitnah, khabar angin, buruk sangka, tapis dan selidiki perkhabaran terlebih dahulu sebelum diterima dan menghargai nilai perpaduan.-Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan