28.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

PDRM kutip RM13.6 juta saman hari pertama AKM – Mazlan

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berjaya mengutip sehingga RM13.6 juta dalam tempoh 24 jam sepanjang pelaksanaan diskaun saman sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM).

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata daripada 287,500 saman tersebut, 8,943 daripadanya dengan nilai RM431,330 dikutip melalui kaunter diskaun di ruang legar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Manakala menurutnya, sebanyak 74,312 saman membabitkan nilai RM3.4 juta pula berjaya dikutip melalui aplikasi dan portal MyBayar Saman.

“Walaupun kaunter di KLCC sudah ditutup, namun orang ramai boleh terus membayar saman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Polis Kontinjen (IPK) yang mempunyai kaunter trafik dari jam 8.30 pagi hingga 5 petang.

“Mereka boleh membayar melalui MyBayar Saman secara dalam talian selama 24 jam dan memang ada berlaku masalah untuk diakses ketika waktu puncak,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mazlan bagaimanapun meminta orang ramai bersabar dan terus menggunakan aplikasi itu sebagai alternatif pembayaran.

Menurutnya, penutupan kaunter di KLCC disebabkan jumlah pengunjung yang ramai sehingga menyukarkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

Untuk rekod, perkhidmatan pembayaran dalam talian berkenaan beroperasi 24 jam sepanjang tempoh tawaran kompaun bermula semalam hingga 12 Disember ini.

Selain itu, pembayaran kompaun boleh dibuat di kaunter bayaran saman trafik Ibu Pejabat Polis Daerah dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen, selain portal serta aplikasi MyBayar sepanjang tempoh empat hari tersebut.

Orang ramai mahupun syarikat dan entiti perniagaan boleh mendaftar melalui portal rasmi PDRM atau pautan https://mybayar.rmp.gov.my/ atau memuat turun aplikasi di platform Google Play Store, Apple AppsStore dan Huawei Gallery, seterusnya boleh membuat pembayaran melalui aplikasi itu.

Semalam, sistem MyBayar Saman didapati mengalami gangguan setelah menerima akses terlalu tinggi dalam kalangan pengguna yang mahu melunaskan saman trafik dan tunggakan kompaun masing-masing.

Tinjauan Edisi 9 sehingga awal pagi ini, sistem tersebut masih belum boleh digunakan akibata menerima trafik yang terlalu tinggi.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan