30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Program Khas bantu pelajar tercicir akibat pandemik Covid-19

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PROGRAM Khas (Catch-up) peringkat nasional perlu diperkenalkan bagi membantu pelajar sekolah atau institusi pengajian tinggi (IPT) yang tercicir sepanjang tempoh pandemik sama ada secara hybrid atau bersemuka mengikut kesesuaian pihak sekolah, universiti, guru dan pelajar.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, di bawah Program Catch-up, pihak sekolah perlu mengenal pasti pelajar yang tertinggal untuk diberi tumpuan mengikuti kelas intensif bagi menggilap semula pembelajaran mereka dan memupuk semangat untuk mencatat keputusan yang baik dalam pelajaran.

Menurut bekas Perdana Menteri, untuk menjayakan program berkenaan, pihak guru dan sekolah perlu diberikan sokongan seperti penyediaan kemudahan peranti, gajet dan internet serta sokongan moral yang kukuh untuk menangani masalah pelajar yang ketinggalan.

“Kita berterima kasih atas komitmen kerajaan untuk meneruskan inisiatif sedia ada seperti menyediakan peranti dan gajet kepada pelajar B40 di bandar dan luar bandar, pemerkasaan sekolah pendidikan khas, membaik pulih dan menaik taraf sekolah-sekolah daif di seluruh negara khususnya di wilayah Sabah dan Sarawak,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, sebalik pembangunan prasarana dan penyediaan peralatan untuk proses pengajaran dan pembelajaran berkenaan, cabaran yang lebih besar ialah memastikan anak-anak dapat dibantu untuk mengejar semula pelajaran yang tertinggal dan suasana pembelajaran yang terlepas dalam tempoh pandemik.

“Kelas secara online atau Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berjalan sepanjang tempoh sekolah ditutup, namun kita tidak boleh menutup sebelah mata bahawa ada dalam kalangan pelajar yang ketinggalan dan tertinggal terutamanya mereka di pedalaman yang tiada akses kepada internet, malah golongan miskin bandar yang tiada gajet yang sesuai untuk belajar secara online.

“Justeru, kerajaan perlu meneliti dan menangani isu-isu pokok seperti ini,” katanya.

Menurut beliau, sektor pendidikan telah menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2022 iaitu sebanyak RM67.1 bilion atau sekitar 20 peratus daripada keseluruhan jumlah belanjawan.

Peruntukan ini meliputi RM52.6 bilion untuk Kementerian Pendidikan manakala RM14.5 bilion lagi untuk Kementerian Pengajian Tinggi.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan