EMPAT lelaki berdepan detik cemas apabila kenderaan mereka naiki dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian tanah runtuh di Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, kejadian berlaku berhampiran Hotel Smoke House, Tanah Rata kira-kira pukul 4 petang tadi.
“Keempat-empat mangsa tersepit dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) berjaya dikeluarkan yang mana dua mangsa dikeluarkan oleh orang awam dan dua lagi dikeluarkan oleh anggota bomba.
“Kesemua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Cameron Highlands untuk rawatan lanjut,” katanya hari ini.
Ismail berkata, hujan lebat selama dua jam menyebabkan berlaku sembilan kejadian tanah runtuh di beberapa lokasi di daerah ini sehingga menyebabkan laluan terputus.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian pertama pada pukul 4.16 petang dan sehingga pukul 7 petang ini sembilan lokasi dikenal pasti berlaku tanah runtuh.
“Sembilan lokasi terbabit adalah tiga di Brinchang, Tanah Rata (tiga lokasi) dan Ringlet (tiga lokasi), hampir semua kejadian tanah runtuh terbabit menghalang laluan tanpa melibatkan kemalangan jiwa,” ujarnya.
-EDISI9