FENOMENA air pasang besar yang turut berlaku di daerah Manjung akibat banjir kilat malam tadi, menyebabkan seramai 70 mangsa membabitkan 21 keluarga di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Panchor, Pantai Remis, Perak, terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Panchor.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Manjung berkata, pusat pemindahan itu dibuka pada 8 malam selepas rumah penduduk dinaiki air.
“Mangsa yang dipindahkan ke PPS membabitkan 26 lelaki, termasuk enam warga emas, 25 wanita termasuk lapan warga emas, lapan kanak-kanak lelaki dan seramai 11 kanak-kanak perempuan.
“Paras ketinggian air adalah 0.2 meter (m) dan cuaca di lokasi berada dalam keadaan mendung, namun keadaan baik serta terkawal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Fenomena air pasang besar turut menjejaskan beberapa kawasan di Bagan Datuk dan Teluk Intan sejak Rabu lalu akibat limpahan daripada air Sungai Perak.
Penempatan penduduk di beberapa kawasan di dua daerah berkenaan dinaiki air, namun ia surut selepas beberapa jam dan setakat ini juga tiada penduduk diarah berpindah.-Edisi 9