36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

PRN Melaka penentu masa depan PN, bukan BN atau PH

Mesti Baca

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka dilihat akan menjadi penentu masa depan Perikatan Nasional (PN) yang buat pertama kali menghadapi pilihan raya di Semenanjung dan bukannya Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).

Pakar geostrategik, Prof Dr Azmi Hassan sebarang keputusan pilihan raya tersebut 20 November ini sama ada PN yang parti komponennya terdiri daripada Bersatu, Pas, Gerakan dan STAR masih relevan atau sebaliknya.

Beliau berkata, jika tewas teruk PN akan memikirkan sama ada parti itu masih relevan atau sebaliknya terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Jika tewas teruk PN akan memikirkan sama ada parti itu masih relevan atau sebaliknya dan apakah mereka perlu bekerjasama dengan UMNO dan BN.

“Malah Pas juga akan memikirkan nasib mereka sama ada terus bersama Pas akan memberi manfaat kepada parti itu atau sebaliknya.

“Namun jika PN menang besar, UMNO pula yang akan berfikir sama ada mereka boleh bergerak secara solo mengharungi PRU-15 atau sebaliknya,” katanya kepada Edisi 9 hari ini.

Beliau diminta mengulas kemungkinan pertembungan tiga penjuru antara BN, PN dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Melaka memandangkan UMNO telah berpatah arah untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu.

Malah ketika melancarkan jentera pilihan raya BN bagi PRN Melaka malam tadi, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan sekali lagi bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan PN terutama Bersatu.

Sementara itu Azmi berkata, kewujudan tiga parti utama dalam PRN Melaka serta penyertaan parti-parti kecil lain dan calon-calon bebas menggambarkan suasana demokrasi yang subur di negara ini.

Katanya, ketiga-tiga parti iaitu BN, PN dan PH akan memperjuangkan ideologi politik masing-masing untuk meraih undi rakyat bagi membolehkan mereka menerajui negeri itu.

Manakala rakyat Melaka pula akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk memilih parti dan calon-calon yang mereka suka dan sesuai untuk dipilih bagi mentadbir negeri itu.

“Masalahnya antara BN dan PN kerana mereka mempunyai penyokong, pengundi dan pengaruh dalam komposisi yang sama iaitu pengundi Melayu. Inilah yang menjadi perdebatan sama ada perlu BN dan PN bertembung.

“Pengundi Melayu di Melaka akan ada dua pilihan sama ada PN atau BN dan pastinya berlaku perpecahan undi yang akhirnya bakal menguntungkan lawan mereka, iaitu PH. Inilah faktanya, bukan gabta di Melaka tetapi juga di peringkat nasional,” katanya.

Malah beliau tidak menolak bahawa keputusan PRN Melaka akan menyaksikan tiada mana-mana gabungan parti politik yang dapat membentuk kerajaan secara bersendirian.

Jika senario itu berlaku, katanya, ketiga-tiga parti tersebut terpaksa berbincang antara satu sama lain untuk menubuhkan kerajaan dan berharap kejadian wakil rakyat melompat parti tidak berulang. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan