29.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

PN tolak cadangan wujudkan Timbalan Speaker ketiga

Mesti Baca

Lukman Ismail
Lukman Ismail
Editor Edisi 9

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) hari ini menolak cadangan pindaan Perlembagaan bagi menambah satu lagi jawatan Timbalan Yang Dipertua (Timbalan Speaker) Dewan Rakyat.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, mewujudkan satu lagi jawatan itu bukanlah satu keperluan buat masa kini.

Selain itu, katanya, ia tidak termaktub dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara kerajaan dan pihak pembangkang yang ditandatangani baru-baru ini.

“Pindaan Perlembagaan untuk menambah jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak termaktub dalam memorandum persefahaman tersebut. Justeru, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak untuk menuntut pelaksanaannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata, keputusan yang dibuat Majlis Tertinggi PN itu berpendirian bahawa persefahaman antara kerajaan dan pembangkang di Parlimen adalah terhad kepada perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama dan termaktub secara jelas MoU tersebut yang dimeterai pada 13 September lalu.

Beliau berkata, selain itu, kewujudan dua Timbalan Yang Dipertua sepertimana yang termaktub dalam Perkara 57(1)(b) Perlembagaan Persektuan adalah memadai bagi tujuan menjamin kelicinan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat.

Peruntukan Perkara 57(3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan mana-mana Ahli Dewan Rakyat mempengerusikan pada masa ketiadaan Yang Dipertua dan timbalan-timbalannya juga sudah memadai bagi menjamin kesempurnaan perjalanan Mesyuarat Dewan Rakyat.

“Justeru, tiada keperluan bagi Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk menambah satu lagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada masa ini.

“Cadangan pindaan perlembagaan ini memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli-Ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan telah mengemukakan cadangan agar diwujudkan satu lagi jawatan Timbalan Yang Dipertua yang dikhususkan kepada wakil pembangkang.

Cadangan itu antara 20 usul untuk transformasi Parlimen sekiranyanya beliau dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Menanggapi cadangan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar kelihatan menyokongnya.

Beliau berkata, ketika ini beban yang dipikul Yang Dipertua Dewan Rakyat dan dua timbalannya semakin berat dan jawatan ketiga itu dapat meringankan sedikit tugas berkenaan. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan