26.1 C
Kuala Lumpur
Monday, September 26, 2022

Piala Sudirman: Terkandas tapi wajar mendapat pujian

Mesti Baca

CYBERJAYA – Hasrat pasukan badminton negara memahat sejarah mara ke final badminton Piala Sudirman buat kali pertama tidak kesampaian apabila tewas kepada Jepun 1-3 di peringkat separuh akhir lewat malam tadi.

Lee Zii Jia beraksi cemerlang menumpaskan pemain No. 1 dunia, Kento Momota, namun kekalahan beregu lelaki, Aaron Chia/Soh Wooi Yik, S. Kisona (perseorangan wanita) dan Pearly Tan/M. Thinaah (beregu wanita) mengakhiri langkah Malaysia di Vantaa, Finland.

Biarpun gagal melangkah ke peringkat seterusnya, skuad muda negara wajar mendapat pujian apabila memberikan tentangan hebat sepanjang kejohanan.

Kemenangan sensasi 3-2 ke atas Indonesia pada suku akhir semalam membuktikan barisan muda negara mempunyai masa depan yang amat cerah.

Dalam aksi separuh akhir, Malaysia bermula sumbang apabila pasangan No. 8 dunia, Aaron/Wooi Yik gagal meneruskan rentak setelah tunduk kepada Takuro Hoki/Yugo Kobayashi 15-21, 14-21.

Baca juga:   Lebih 80,000 syarikat baharu didaftarkan April-Julai

Peluang skuad negara untuk melakar kejutan semakin sempit selepas Malaysia ketinggalan 0-2 ekoran kekalahan mudah S. Kisona 7-21, 5-21 kepada pemain No. 5 dunia, Akane Yamaguchi.

Zii Jia, 23, bagaimanapun menghidupkan kembali peluang pasukan negara apabila menebus dendam atas kekalahan kepada Momota di peringkat kumpulan dengan menumpaskan jaguh No. 1 dunia itu 20-21, 19-21.

Ketinggalan 1-2, Malaysia memerlukan kemenangan daripada beregu wanita, Pearly/Thinaah untuk mengheret saingan ke perlawanan kelima.

Pearly/Thinaah berjaya memberi tentangan sengit kepada Mayu Matsumoto/Misaki Matsumoto sebelum akur 19-21, 17-21.

Baca juga:   Zii Jia berentap lawan Axelsen final Seluruh England

Untuk rekod, sejak diperkenalkan pada 1989, inilah kali kedua Malaysia mampu ke peringkat separuh akhir setelah kali terakhir melakukannya pada 2009 di Guangzhou, China.

China paling banyak menjulang kejuaraan yang diadakan menjelang Piala Thomas dan Uber tersebut, iaitu sebanyak 11 kali diikuti oleh Korea Selatan (empat) dan Indonesia sekali.

Barisan muda negara akan berehat seketika sebelum kembali ke gelanggang untuk kejohanan Piala Thomas dan Uber yang akan berlangsung di Aarhus, Denmark dari 9-19 Oktober. – Edisi 9

Terkini

Tak pelik bukan PH diumum musuh utama PN – Zahid

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin, Barisan Nasional (BN) musuh utama Perikatan...

Lagi Artikel Berkaitan