31.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

PdPR perlu terus dilaksanakan – Dr Radzi

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SESI pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) masih perlu diteruskan walaupun sebahagian besar pelajar sudah mula memasuki sekolah bagi mengikuti PdP secara bersemuka.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, langkah itu mengambil kira sistem penggiliran pelajar yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Menurutnya, walaupun PdPR tidak dilakukan setiap hari, namun ia penting untuk memastikan pelajar sentiasa bersama dengan guru masing-masing.

“Bagaimanapun, PdPR ketika ini berbeza sedikit iaitu ia menjurus kepada persediaan bahan yang diperlukan oleh pelajar, terutama perkara yang sukar difahami sebelum mereka memasuki sekolah dan mengikuti sesi PdP secara bersemuka.

“Ini (PdPR) satu pendekatan yang perlu dilakukan supaya pelajar itu dapat berterusan bersama guru bagi mengikuti pembelajaran mereka walaupun bukan setiap hari, namun begitu penting untuk sentiasa ada hubungan dengan guru.

“Apa pun hasrat utama kementerian untuk memastikan pelajar ini kembali ke sekolah,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Zainun sempena pembukaan sekolah Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Seremban, Negeri Sembilan hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah KPM, Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid.

Radzi turut melahirkan rasa puas hati terhadap guru yang dapat menerima dengan baik sistem penggiliran yang sedang dilaksanakan.

“Saya harap guru dapat membiasakan diri dengan sistem penggiliran ini, sebelum lebih ramai lagi pelajar kembali ke sekolah,” katanya.

Sementara itu, mengenai persiapan menghadapi kemungkinan berlaku banjir susulan musim tengkujuh akhir tahun ini dan mengganggu sesi PdP, beliau berkata pihak kementerian akan membuat persiapan sewajarnya berdasarkan keperluan dan keadaan semasa.

“Kita tidak menafikan kemungkinan akan ada kawasan atau sekolah tertentu yang akan terdedah kepada kejadian banjir.

Namun, tindakan kita akan berdasarkan keperluan dan keadaan semasa bagi menghadapi musim tengkujuh supaya sesi persekolahan berjalan dengan baik tanpa gangguan sehingga ke hujung penggal ini,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar meninggal dunia

BEKAS Ketua Polis Negara (KPN), Tun Mohammed Hanif Omar meningggal dunia di kediamannya di Shah Alam, Selangor pagi ini. Allahyarham...

Lagi Artikel Berkaitan