25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Caj pengurusan AIM diturunkan kepada 2 peratus – Noh

Membabitkan empat Skim Pembiayaan Ikhtiar iaitu Skim Pembiayaan i-Wibawa, i-Sejahtera, i-Bestari dan i-Penyayang.

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

AMANAH Ikhtiar Malaysia (AIM) menurunkan kadar caj pengurusan sebanyak 2 peratus membabitkan empat Skim Pembiayaan Ikhtiar iaitu Skim Pembiayaan i-Wibawa, i-Sejahtera, i-Bestari dan i-Penyayang.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Tan Sri Noh Omar berkata, penurunan caj daripada 10 peratus kepada 8 peratus itu akan berkuat kuasa selama dua tahun bermula tahun 2022 hingga 2023.

“Penurunan caj itu membabitkan peruntukan pembiayaan sebanyak RM970.39 juta dan akan memberi manfaat kepada kira-kira 380,000 Sahabat AIM seluruh negara.

“Keempat-empat skim pinjaman ini mempunyai had pinjaman sehingga RM20,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

Pengumuman itu dibuat Noh ketika merasmikan Program Karnival Usahawan Dan Koperasi yang diadakan di Padang Astaka, Tanjung Karang, Selangor.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Pengarah Urusan AIM, Shamir Abdul Aziz.

Dalam pada itu, Noh menjelaskan, ketiga-tiga langkah yang dibuat AIM itu merupakan sebahagian daripada keprihatinan pihak pengurusan dalam menyambut serta menyokong konsep Keluarga Malaysia yang diinspirasikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ia diharap dapat membantu menjana ekonomi Sahabat dan peniaga kecil, seterusnya memulihkan negara daripada masalah dan kesan akibat pandemik COVID-19.

Selain caj pengurusan, Noh turut mengumumkan pemberian rebat serta diskaun secara pro-rata kepada semua Sahabat yang melunaskan pinjaman lebih awal.

“Rebat pro-rata itu diberikan sehingga 50 peratus kadar caj pengurusan. Ini bermakna, lebih awal Sahabat melunaskan pinjaman, maka lebih tinggi diskaun yang akan diberikan.

“Atas rasa kebersamaan di dalam usaha memulihkan kembali ekonomi Sahabat yang terjejas akibat pandemik COVID-19, AIM juga tidak melupakan golongan pertengahan.

“Oleh sebab itu, AIM turut membuka tawaran pinjaman kepada mereka dalam kategori pertengahan (B50) dengan pendapatan isi rumah sebanyak RM5,880 dan ke bawah,” jelasnya.-Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan