25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Gelembung Pelancongan Langkawi, 149 kes positif dikesan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

CYBERJAYA – Sebanyak 149 kes positif COVID-19 dikesan menerusi ujian RTK-Ag, setakat tempoh dua minggu pelaksanaan Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi bermula 16 September sehingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, susulan itu, seramai 186 individu lagi telah dikesan sebagai kontak rapat kepada kes positif tersebut serta telah diasingkan dan diberi Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (HSO).

“Bagi pelancong yang menjalani ujian RT-PCR sendiri sebelum bertolak ke Pulau Langkawi pula, kesemua keputusan adalah negatif,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, secara kumulatif dari 16 September sehingga 4 Oktober (jam 12 tengah hari) iaitu kira-kira dua minggu setelah pelaksanaan projek rintis ini, seramai 40,458 orang telah disaring di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi.

“Ini melibatkan sejumlah 34,038 orang yang telah disaring di tujuh pintu masuk lapangan terbang dan 6,420 orang melalui feri di Kuala Perlis dan Kuala Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) bersama-sama Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi akan terus memantau perkembangan jangkitan serta akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

“Seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri, lebih banyak kawasan gelembung pelancongan dijangka akan dibuka bermula Oktober ini.

“KKM akan terus menjalankan kerjasama dengan MOTAC dalam menjalankan penilaian risiko bagi membolehkan lebih banyak lagi tempat pelancongan dibuka dari semasa ke semasa,” katanya.

Sehubungan dengan itu, KKM menyeru semua rakyat Malaysia untuk bersama-sama memainkan peranan dalam usaha membawa negara keluar daripada pandemik ini serta diingatkan mengamalkan kepatuhan tinggi terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.

“Memperkukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri dalam semua keadaan.

“Sekiranya bergejala sama ada semasa tempoh melancong atau setelah pulang dari kawasan pelancongan, segera dapatkan rawatan awal atau lakukan ujian kendiri bagi membendung penularan COVID -19.

“Jika disahkan positif, lakukan tindakan yang bertanggungjawab dengan mengasingkan diri. Kita adalah barisan hadapan untuk melindungi keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus COVID -19,”katanya. -Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan