CYBERJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim mahu semua pihak berhenti menjadikan isu nama kerajaan sekarang sebagai polemik.
Ini kerana menurut beliau, kerajaan hari ini masih lagi atas kapasiti kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Barisan Nasional (BN) dan bukannya Bersatu.
“Pasal apa pula bukan kerajaan PN? Ini ialah BN-led government yang sekarang berada dalam PN. Bagi saya tidak ada polemik, ia diwujudkan sesetengah pihak untuk jadikan perbincangan. Pada saya tak perlu,” katanya seperti dilapor MalaysiaNow.
Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini bertegas agar kerajaan hari ini tidak dikaitkan dengan PN tetapi sebagai “Kerajaan Malaysia” atau “Kerajaan Keluarga Malaysia”.
Hal ini, katanya disebabkan kerajaan yang dibentuk sekarang merupakan kerjasama politik longgar antara BN yang terdiri daripada UMNO, MCA, MIC dan PBRS; PN; Gabungan Parti Sarawak dan Parti Bersatu Sabah.
Istilah “Keluarga Malaysia” digunakan oleh Datuk Seri Ismail Sabri dalam perutusan sulungnya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, mengatakan beliau mahu menurunkan suhu politik dalam negara sejajar titah istana.
Kenyataan Ahmad Zahid itu dibuat selepas pengumuman Kabinet Ismail Sabri yang sebahagian besar anggotanya dikekalkan daripada pentadbiran Muhyiddin selain menggunakan format yang diperkenalkan Pengerusi PN itu.
Sementara itu, Shahidan yang juga bekas Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (PNBB) berkata, seorang pengerusi baharu akan dilantik untuk mengetuai kelab dalam kalangan ahli-ahli Parlimen kerajaan itu.
“Kita akan lantik Pengerusi baharu PNBCC, buat masa sekarang ia belum diubah apa-apa dan perkara ini tak perlu jadi polemik, kalau sekarang orang kata ini bukan kerajaan PN. Siapa pun yang dilantik kita akan beritahu,” katanya.