26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

UMNO perlu perkasakan diri dalam Dewan Negara

Mesti Baca

Editor
Editor
Editor Edisi 9

Oleh SAIFUL BAHAR MOHD ARSHAD

SEJAK beberapa minggu lalu isu nombor ataupun siapa mempunyai angka di Dewan Rakyat untuk diangkat menjadi Perdana Menteri susulan peletakan jawatan penyandangnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 16 Ogos lalu hangat diperkatakan.

Akhirnya, Ahli Parlimen Bera yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berjaya mengumpul angka 114 dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Bagaimanapun, jarang kita dengar pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO bercakap soal dewan yang lebih tinggi di dalam Parlimen iaitu Dewan Negara.

Dewan Negara sebetulnya amat penting kerana tanpa kelulusan di peringkat ini, sebarang belanjawan tahunan dan rang undang-undang tidak dapat diluluskan.

Sebetulnya sudah tiga tahun tiga bulan UMNO ketinggalan dalam soal meletakkan pemimpin-pemimpin terbaik parti sebagai Ahli Dewan Negara.

Ini berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) yang mana sepanjang memerintah selama 22 bulan, mereka telah menggunakan sepenuhnya peluang tersebut untuk meletakkan pemimpin-pemimpin dari PKR, DAP dan Amanah sebagai Ahli Dewan Negara.

Sebaliknya, ketika di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN), parti Bersatu dan Pas telah mengunakan peluang keemasan ini untuk melantik calon-calon yang berwibawa di Dewan Negara.

Untuk rekod, pada ketika ini PN mempunyai 20 orang wakil dalam Dewan Negara iaitu terdiri daripada 12 wakil Bersatu, Pas (enam), STAR (satu) dan seorang wakil dari Gerakan di samping tiga wakil bebas yang menyokong PN.

Barisan Nasional (BN) pula hanya mempunyai 12 orang wakil iaitu enam mewakili UMNO, MCA (empat) dan MIC (empat) sementara Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula mempunyai enam orang Ahli Dewan Negara.

PH pula mempunuai 14 orang wamil dengan PKR dan DAP masing-masing diwakili enam orang manakala Amanah seramai dua orang. Turut mempunyai wakil dalam Dewan Negara ialah Warisan dan UPKO masing-masing seorang.

Difahamkan terdapat 13 lagi kekosongan untuk diisi sebagai wakil di Dewan Negara.

Daripada jumlah tersebut, jelas UMNO agak ketinggalan daripada segi jumlah anggotanya di Dewan Negara.

Satu-satunya wakil UMNO yang dilantik sebagai Senator melalui pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong ialah Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi.

Manakala wakil-wakil UMNO di Dewan Negara lain dari pelantikan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Datuk Othman Aziz (Kedah), Seruandi Saas (Perlis), Datuk Jefridin Atan (Johor) dan Datuk Mohamad Ali Mohamad dari Melaka yang juga Timbalan Speaker Dewan Negara.

Daripada nama-nama tersebut, hanya Othman, Jefridin dan Mohamad Ali yang agak dikenali manakala selebihnya tidak begitu dikenali oleh orang awam.

Justeru, penulis melihat sudah sampai masanya UMNO meletakkan beberapa nama besar daripada kalangan pemimpin parti untuk berada di Dewan Negara.

Langkah ini bukan sahaja bagi menambah bilangan wakil parti itu tetapi memastikan UMNO mempunyai jurucakap yang hebat di Dewan Negara.

Naratif dan dasar kerajaan pimpinan Ismail Sabri perlu diperbahas dan dihebahkan bukan sahaja di Dewan Rakyat tetapi juga di Dewan Negara.

Dalam hal ini, penulis melihat dua nama yang wajar diangkat untuk mengisi kerusi Senator di Dewan Negara ialah pembahas terbaik UMNO, Datuk Seri Alwi Che Ahmad dari Kelantan.

Alwi merupakan seorang pemidato terbaik parti dan perbahasan serta naratif kandungan ucapan-ucapan beliau bukan sahaja terbaik malah amat tepat serta diterima dengan baik oleh rakyat.

Amatlah rugi sekiranya UMNO tidak menggunakan kesempatan ini untuk meletakkan Alwi sebagai seorang Senator ke Dewan Negara.

Nama kedua yang sewajarnya dipertimbangkan ialah bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Setiausaha Agung BN ini juga dilihat sebagai calon yang sesuai untuk dilantik ke Dewan Rakyat.

Dr. Zambry merupakan seorang yang amat mahir dan pakar merangka ucapan-ucapan dasar pemimpin-pemimpin negara.

Kesimpulannya, UMNO perlu berhati-hati di dalam memilih calon sebagai Ahli Dewan Negara.

Jangan jadikan Dewan Negara sebagai hadiah kepada pemimpin-pemimpin parti kerana kedudukan mereka di dalam haraki parti.

Dewan Negara adalah dewan perbahasan. Negara perlu pembahas-pembahas terbaik yang mempunyai idea-idea yang bernas sebagai ahli bukan yang hanya memanaskan bangku sahaja.

Parti mempunyai pembahas-pembahas terbaik mereka di dalam Dewan Negara iaitu Muhammad Zahid Md. Arip dan Razali Idris.

Manakala Pas pula meletakan Mohd. Apandi Mohamad serta Ketua Pemudanya, Ir Khairil Nizam Khairudin sebagai jurucakap mewakili parti mereka.

Adalah amat diharapkan Ismail Sabri akan membuat pelantikan yang terbaik untuk wakil-wakil UMNO ke Dewan Negara.

  • Datuk Saiful Bahar Mohd Arshad adalah pemerhati politik. Tulisan ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Edisi 9.

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan