25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Tak mustahil UMNO, Bersatu bergabung sebelum PRU-15 – Nazri

Mesti Baca

CYBERJAYA – Bukan sesuatu yang mustahil jika UMNO dan Bersatu bergabung di bawah satu parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Pandangan itu dikemukakan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz kepada Sinar Harian hari ini.

Menurut beliau, Bersatu merupakan parti serpihan UMNO dengan semua ahli parti tersebut memiliki DNA parti Melayu terbesar itu selama ini.

“Pertamanya, kita kena faham, semua orang tahu Bersatu itu adalah daripada UMNO. Ini bukan cerita sejarah 100 tahun lalu tetapi Bersatu baru ditubuhkan.

“Semua orang dalam Bersatu itu saya kenal. Mungkin disebabkan sedikit perselisihan faham, mereka keluar UMNO dan tubuh Bersatu. Pada umumnya, mereka semua mempunyai DNA UMNO.

“Saya lihat suatu hari UMNO dan Bersatu akan bertaut kembali dengan hasrat itu mungkin mampu dijayakan sebelum PRU-15.

“Kalau kita (UMNO dan Bersatu) dapat selesaikan beberapa perkara dan meletakkan asas menjaga kepentingan Melayu, bumiputera dan agama Islam sebagai perkara paling utama, perkara itu tidak mustahil,” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas bagaimanapun berkata, kedua-dua parti perlu menyelesaikan beberapa isu termasuk soal pembahagian kerusi pilihan raya dan sentimen peribadi sekiranya perkara itu mahu direalisasikan.

Mohamed Nazri berkata, beliau merasakan hasrat tersebut mampu tercapai sekiranya pemimpin kedua-dua parti meletakkan asas menjaga kepentingan orang Melayu, bumiputera dan agama Islam sebagai pemangkin setiap pertimbangan politik.

Advertisements

Jelas beliau, faktor utama ahli-ahli Bersatu keluar daripada UMNO sebelum ini adalah disebabkan berlaku perselisihan faham dengan mereka yang tidak berpuas hati terhadap keputusan pucuk kepimpinan UMNO ketika itu.

Justeru, beliau melihat kemampuan kedua-dua parti untuk kembali bergabung bagi menghadapi PRU-15 adalah bergantung sepenuhnya terhadap hala tuju kepimpinan UMNO dan Bersatu yang baharu.

“Masalah sekarang adalah mereka (sebilangan ahli Parlimen Bersatu) dahulu bertanding atas tiket UMNO dan BN sebelum keluar menyertai Bersatu.

“Kita masih ada tempoh dua tahun sebelum PRU-15 untuk menyelesaikan masalah ini.

“Selain itu, hal penyatuan semula dua parti Melayu ini bergantung kepada hala tuju kepimpinan baharu (UMNO dan Bersatu),” katanya.

Beliau turut mengajak semua pemimpin kedua-dua parti Melayu itu berjiwa besar dengan meletakkan sifat ego ke tepi demi kepentingan perpaduan ummah.

“Cuma waktu sekarang yang menjadi sukar untuk direalisasikan kerana sifat pemimpin-pemimpin parti masing-masing yang ego.

“Bagi saya, semua kena belajar semula daripada kesan kekalahan BN di Kelantan kepada Pas yang menyebabkan kita tidak dapat memenanginya semula sejak lebih 30 tahun lalu.

“Saya pun ingat bila BN kalah PRU-14, kita sudah tidak mampu bangkit dan mengulangi sejarah kekalahan di negeri Kelantan. Sekarang kita diberikan peluang kedua dan jangan sia-siakannya,” kata beliau.

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan